.

Ahad, 15 November 2009

KEMPEN SEJUTA TEMPAT DUDUK PERCUMA AIR ASIA PECAH REKOD DUNIA

AirAsia Bhd. (AirAsia), telah mencipta rekod dunia baru dengan kempen sejuta tempat duduk percumanya yang dilancarkan pada 11 November lalu, memecahkan rekod itu pada hari berikutnya.

Hos penyedia tempahan AirAsia, Navitaire mengumumkan syarikat penerbangan tambang murah itu telah berjaya menjual 402,222 tempat duduk dalam tempoh 24 jam selepas kempen tersebut dilancarkan.

Pada hari berikutnya, AirAsia sekali lagi memecahkan rekod mereka sendiri dengan jualan 489,000 tempat duduk pada tempoh 24 jam berikutnya.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Kamarudin Meranun berkata, pencapaian tersebut adalah sangat membanggakan dan ia adalah berita baik.

''Sesuatu yang luar biasa untuk mencatatkan rekod dunia dalam tempoh singkat tujuh tahun beroperasi sebagai syarikat penerbangan tambang murah. Kami telah menetapkan pencapaian baru dan jenama AirAsia telah berada di peringkat global.

''Ia bukan sahaja pencapaian cemerlang AirAsia, tetapi untuk Malaysia dan ASEAN. Syarikat penerbangan tambang murah terbesar ASEAN dapat menggalakan pelancongan dengan pelanggan akan terbang ke Malaysia dan rantau ASEAN,'' katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini hari ini.

Kamarudin berkata, AirAsia turut berterima kasih dengan sistem tempahan 'Langit Terbuka' (Open Skies) dan 'Langit Baru' (New Skies) yang disediakan oleh Navitaire yang menguruskan permintaan tinggi bagi operasi penerbangan mereka.

''Penghargaan juga patut diberikan kepada kakitangan AirAsia yang membantu pencapaian ini dan percaya dedikasi mereka membantu AirAsia untuk menyediakan tambang murah, berkualiti tinggi, perkhidmatan premium dan sebagainya,'' jelasnya.

Ketua Komersial Rantau AirAsia, Kathleen Tan berkata, laman web AirAsia telah mendaftar lebih 300 juta pengunjung dalam tempoh 11 jam kempen itu berlangsung dan kejayaan kempen itu turut dibantu oleh blog AirAsia dan platform rangkaian sosial facebook dan twitter.

''Ia sesuatu fenomena. Sambutan yang mengalakan menunjukkan keyakinan kami terhadap jualan dalam talian dan revolusi tambang murah Asia. Internet telah memudahkan kerja pembelian tiket penerbangan.

''Ia juga memberi peluang untuk melaksanakan strategi perkembangan laluan tambahan dengan penambahan destinasi seperti Taipei, Chengdu, Kochi, Kolkata, Trivandrum, Abu Dhabi dan menambah hab baru seperti Bali, Phuket, Bandung serta Pulau Pinang,'' jelasnya.

Tan berkata, perkembangan rangkaian laluan dan kekerapan penerbangan membolehkan pelanggan AirAsia merancang perjalanan.

(UTUSAN)


Tiada ulasan: