.

Jumaat, 2 Oktober 2009

PERTABALAN YANG DI-PERTUAN BESAR NEGERI SEMBILAN JADI TUMPUAN

Negeri Sembilan bakal menjadi tumpuan dunia sepanjang Oktober hingga Disember ini sempena pertabalan Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada 26 Oktober ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata sebanyak 33 program membabitkan kerajaan, istana dan orang ramai disusun sepanjang bulan pertabalan itu, yang bermula 4 Oktober ini hingga 6 Disember depan.

Beliau berkata, semua program sepanjang bulan pertabalan itu dibahagikan kepada tiga kategori iaitu acara adat, kemeriahan dan sampingan.

Antara program terbabit adalah Program Jejak Warisan - Laluan Raja Melewar, iaitu berkayak beramai-ramai merentas Selat Melaka, Pameran Raja Kita dan pelancaran Sampul Surat Hari Pertama Pertabalan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-11, Karnival Kraf dan Pameran Sejarah Negeri Sembilan.

Katanya, persiapan untuk Istiadat Pertabalan juga berjalan lancar kerana persiapan dibuat sejak awal tahun ini seperti kerja menaik taraf bangunan Istana Besar Seri Menanti di Kuala Pilah.

"Istiadat Pertabalan yang mengikut adat istiadat diraja negeri ini sejak dulu lagi berlangsung selama tujuh hari tujuh malam mulai 22 hingga 28 Oktober ini dengan Istiadat Pertabalan sebenar berlangsung di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti pada 26 Oktober.

"Rakyat Malaysia di seluruh negara dapat menyaksikan istiadat itu yang disiarkan secara langsung di saluran RTM1," katanya ketika melancarkan Bulan Pertabalan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 di Klana Resort, di sini, semalam.

Mohamad berkata, rakyat Malaysia dan pelancong asing tidak sepatutnya melepaskan peluang menyaksikan peristiwa bersejarah dalam sistem pemerintahan beraja yang mengamalkan Adat Pepatih.

(BERITA HARIAN)


Tiada ulasan: