.

Rabu, 5 Ogos 2009

KUTIPAN HASIL NEGARA SUSUT?

Kerajaan hari ini melahirkan kekhuatiran bahawa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mungkin gagal melepasi sasaran kutipan hasil negara bagi keseluruhan tahun ini .

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzalah (gambar) berkata, kutipan cukai bagi suku kedua merosot satu peratus setelah mengalami kenaikan tiga peratus pada suku sebelumnya.

Katanya, meskipun kutipan cukai bagi separuh tahun ini meningkat sebanyak RM1 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu tetapi situasi ekonomi semasa dijangka menyebabkan kutipan cukai bagi separuh kedua terjejas.

‘‘Situasi ekonomi semasa menyebabkan kami (kerajaan) khuatir, kemungkinan besar sasaran kutipan cukai pada separuh kedua tidak mampu dicapai.

‘‘Dalam keadaan sekarang kemerosotan pendapatan syarikat-syarikat memberi kesan kepada kutipan cukai,’’ katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Persidangan Cukai Kebangsaan 2009 di sini hari ini.

Beliau mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Hadir sama ialah Ketua Pengarah LHDN, Datuk Hasmah Abdullah.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan unjuran kutipan cukai bagi tahun ini.

‘‘Kita memang ada menetapkan sasaran tetapi untuk tahun ini, saya tidak perlu dedahkan angkanya.

‘‘Jumlah sebenar akan kita ketahui selepas berakhir tahun ini,’’ ujarnya.

Ahmad Husni berkata, setakat tujuh bulan pertama tahun ini yang berakhir 31 Julai lalu, LHDN mengutip sejumlah RM53.5 bilion berbanding RM52.4 bilion pada tempoh yang sama 2007.

Tambahnya, penyumbang terbesar adalah sektor petroleum yang menyaksikan peningkatan kutipan sebanyak RM2 bilion dan individu RM1 bilion.

Kutipan cukai tahun 2008 berjumlah RM90.6 bilion, kenaikan sebanyak 21 peratus berbanding RM74.7 bilion tahun 2007.

Jelasnya, prestasi kutipan cukai pada tahun lalu adalah baik berbanding negara-negara lain yang mencatatkan penurunan ketara dalam pungutan cukai.

Sementara itu, Ahmad Husni memberitahu, Kerajaan masih belum menyemak lagi unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk tahun depan.

Beliau menjelaskan, data-data ekonomi perlu dikemaskini sebelum membuat semakan semula terhadap unjuran tersebut.

‘‘Ini kerana unjuran yang bakal dibuat adalah berdasarkan situasi (ekonomi) semasa,’’ katanya.

Husni berkata, kerajaan akan mengambil kira laporan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia semasa mengemas kini unjuran tersebut.

Kerajaan sebelum ini mengunjurkan KDNK pada tahun depan berada pada paras positif selepas mengalami penguncupan - 4 hingga - 5 peratus.

Dalam pada itu, ditanya mengenai keputusan prestasi KDNK pada suku kedua lalu, beliau berkata: ‘‘Kita tunggulah pengumuman rasmi nanti’’.

Sebelum ini Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz membayangkan ekonomi negara dijangka berada pada kadar yang sama seperti suku pertama 2009 iaitu -6.2 peratus.

Ia merupakan penguncupan KDNK terburuk sejak suku keempat 1998 apabila ekonomi Malaysia terjerumus dalam kemelesetan ketika krisis kewangan Asia. KDNK pada waktu itu adalah -8.1 peratus.

(UTUSAN)


Tiada ulasan: