.

Ahad, 7 Jun 2009

OBAMA IKRAR BUKA LEMBARAN BARU


Barack Obama dan Setiausaha Negara, Hillary Clinton yang bertudung (dua dari kiri) melawat Masjid Sultan Hassan di Kaherah, satu daripada masjid tertua dan terbesar di dunia, semalam.


Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama berikrar untuk membuka ‘lembaran baru’ bagi dunia Islam dan Amerika dalam ucapan bersejarah kepada umat Islam di seluruh dunia di Kaherah, Mesir hari ini.

Beliau membangkitkan wawasan perdamaian selepas menyeru dihentikan kitaran ‘perasaan syak wasangka dan perseteruan’ yang membara selama ini.

Dalam ucapan yang mungkin menjadi detik penting dalam perkhidmatannya sebagai Presiden AS, Obama membentangkan pelan baru untuk dasar AS di Asia Barat, dengan berikrar untuk menghapuskan rasa curiga, membentuk sebuah negara merdeka untuk penduduk Palestin dan menamatkan konfrontasi nuklear dengan Iran.

“Selagi perhubungan kita dicorakkan oleh perbezaan antara kita, selagi itulah kita akan memperkasakan golongan yang mahu menyemaikan bibit kebencian dan bukannya perdamaian,” kata Obama yang disambut dengan tepukan gemuruh ketika melangkah ke podium di Universiti Kaherah.

Ucapan yang sudah lama dinanti-nantikan itu memenuhi janji Obama semasa berkempen tahun lepas dan disampaikan selepas beliau mengadakan rundingan dengan Raja Abdullah di Arab Saudi semalam dan Presiden Mesir, Hosni Mubarak di sini hari ini, dengan tujuan untuk memulihkan proses damai Asia Barat.

Di Dewan Besar universiti tersebut, Obama menegaskan pertalian AS dengan Israel, yang menjadi punca sebahagian besar kecurigaan Arab terhadap AS, tidak dapat diputuskan dan beliau menolak kata-kata ‘jahil’ golongan yang menafikan berlakunya Holocaust.

Namun, berlainan dengan dasar-dasar bekas Presiden George W. Bush, Obama turut mencela Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kerana keengganannya untuk menghentikan pembinaan kawasan penempatan Yahudi di Tebing Barat.

“Saya datang ke Kaherah untuk mencari permulaan baru antara Amerika Syarikat dengan umat Islam di seluruh dunia,” kata Obama dalam ucapan yang disiarkan di televisyen, di Internet dan laman-laman rangkaian sosial.

Beliau berjanji untuk memerangi ‘stereotaip negatif’ tentang Islam di mana-mana sahaja.

“Bagaimanapun prinsip yang sama mesti juga digunakan berhubung tanggapan umat Islam terhadap Amerika,” katanya yang menyentuh mengenai isu-isu sensitif di rantau ini seperti demokrasi dan hak-hak wanita.

Obama yang memetik kitab-kitab suci al-Quran, Taurat dan Injil membayangkan masa depan yang membawa ‘sikap saling menghormati dan saling berfaedah’ dan berjanji untuk meneliti segala punca ketegangan antara Amerika dengan dunia Islam.

Dalam kenyataan yang ditujukan khusus kepada golongan muda Islam, Obama berkata: “Saya tahu ada ramai orang Islam dan bukan Islam yang mempersoalkan sama ada kita boleh menempa permulaan baru ini.

“Sesetengahnya ingin memarakkan api perseteruan dan menyekat kemajuan, sesetengah pula beranggapan usaha ini sia-sia, bahawa kita sudah ditakdirkan akan berbalah, dan pertentangan antara peradaban sudah pasti berlaku.

“Terdapat perasaan takut dan rasa curiga yang begitu mendalam, tetapi jika kita memilih untuk terus terikat dengan peristiwa silam, kita tidak akan melangkah ke hadapan.”


(AFP)



Tiada ulasan: