.

Ahad, 14 Jun 2009

KERAJAAN LULUS SALURAN TV ISLAM

Kerajaan meluluskan sebuah lagi saluran televisyen baru yang dikhaskan untuk televisyen Islam, dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan dan dikendalikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Dengan adanya saluran televisyen itu yang berkonsepkan penyiaran dakwah Islamiah, akan memberi pilihan baru kepada penonton selain saluran televisyen sedia ada dimiliki kerajaan, swasta dan stesen televisyen berbayar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom, berkata kerajaan hanya menunggu masa melancarkan saluran baru televisyen itu kerana Jakim sudah bersiap sedia dengan rancangan bakal diterbitkan.

Katanya, beliau juga sudah mengadakan perbincangan dengan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, minggu lalu mengenai persiapan melancarkan saluran televisyen itu.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Dr Rais yang banyak membantu kita untuk menjayakan penyiaran saluran televisyen Islam ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pendakwah Negara 2009 dan Pelancaran Radio Malaysia Jakim di sini, semalam.

Difahamkan pada peringkat awal, penyiaran televi-syen Islam itu akan dibantu tenaga teknikal Radio Televisyen Malaysia (RTM) khususnya berkaitan kerja teknikal penyiaran.

Jamil Khir berkata, kandungan saluran televisyen Islam itu memuatkan pelbagai rancangan seperti berita semasa, ekonomi, sukan, kebudayaan, program membina minda termasuk hiburan, tetapi mengikut syariah.

Beliau berkata, apa yang penting Jakim mahu menyampaikan mesej lebih luas mengenai konsep dakwah Islamiah yang bukan saja terhad kepada orang Islam tetapi juga memberi manfaat kepada bukan Islam.

"Ketika ini pun sudah ada rancangan mengenai dakwah Islam yang disiarkan stesen televisyen kerajaan dan swasta, tetapi ruang waktunya agak terhad.

"Jadi, kita mahu melihat satu saluran televisyen yang memberi lebih banyak pilihan kepada penonton untuk melihat rancangan berlandaskan syariah," katanya.

( BERITA HARIAN)



Tiada ulasan: