.

Ahad, 10 Mei 2009

KAJIAN NAIKKAN ELAUN GURU DI PEDALAMAN

Kementerian Pelajaran sedang mengkaji untuk menaikkan kadar elaun guru yang berkhidmat di kawasan pedalaman selepas mengambil kira kepayahan yang terpaksa mereka lalui.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Puad Zarkashi berkata, kajian tersebut dibuat selepas pihaknya meninjau kesukaran hidup guru yang bertugas di pedalaman Pahang, Sabah dan Sarawak baru-baru ini.

Dalam kajian itu menurut beliau, kerajaan akan menambah kategori elaun kawasan pedalaman kepada lima berbanding hanya tiga pada masa ini.

''Selepas meninjau kehidupan mereka (guru pedalaman), sewajarnya mereka diberi elaun yang lebih munasabah berbanding sekarang ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Orang Asli Lenjang dan SK Titom, Hulu Jelai, dekat sini hari ini.

Katanya, pada masa ini, terdapat tiga jenis elaun bertugas di pedalaman iaitu RM500, RM1,000 dan RM1,500 yang dibayar kepada guru mengikut kategori kawasan yang ditetapkan.

Menurut beliau, kerajaan akan meminta Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (EPRD) membuat kajian menyeluruh untuk menentukan jumlah bayaran elaun bagi lima kategori yang akan diperkenalkan itu.

''Kenaikan elaun itu nanti merupakan insentif agar guru lebih bersemangat menjalankan tugas di pedalaman yang tersisih daripada segala kemudahan.

''Kita bangga dengan guru yang bertugas di pedalaman kerana mereka cukup kental dan menunjukkan kesungguhan mengharungi kesukaran untuk memberi pendidikan kepada anak bangsa," tegasnya.

Menceritakan pengalaman lawatannya ke kawasan pedalaman Sarawak baru-baru ini, Puad memberitahu, beliau berjumpa dengan seorang guru wanita yang sarat mengandung dan telah berkhidmat lebih lima tahun di kawasan yang jauh daripada keluarga.

''Namun guru wanita itu tetap menjalankan tugas tanpa rasa bosan dan kecewa," jelasnya.

Antara kes lain, katanya, ada guru yang terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan liputan talian telefon bimbit untuk menghubungi keluarganya.

''Saya terharu dan bangga kerana guru-guru di pedalaman berusaha mewujudkan persekitaran yang kondusif di sekolah dan kelas mereka agar setanding dengan di bandar.

''Mereka menggunakan sumber tempatan, kreativiti dan inovasi untuk melaksanakan tugas pengajaran dan pembelajaran dengan baik," ujarnya.

(UTUSAN)



Tiada ulasan: