.

Isnin, 4 Mei 2009

AIM 16 - SITI MASIH UNGGUL

Biarpun industri muzik tanah air didominasi muzik Indie kebelakangan ini, namun penyanyi wanita nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza tetap unggul apabila memenangi empat anugerah termasuk satu kategori utama, Album Terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke-16 (AIM), malam tadi.

Siti yang tidak dapat hadir kerana mengerjakan umrah, turut unggul dalam kategori Susunan Muzik Terbaik, Album Pop Etnik Terbaik (Lentera Timur) dan untuk kali ke-10, memenangi Persembahan Vokal Terbaik di dalam lagu (Wanita).

Acara yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang mempertaruhkan 25 anugerah itu turut dikejutkan dengan pencapaian Misha Omar membawa pulang empat kategori termasuk kategori utama Lagu Terbaik (Nafas Cahaya), Album Pop Terbaik, Lagu Pop Terbaik (Cinta Adam Dan Hawa) dan Lagu Pop Etnik Terbaik (Nafas Cahaya).

Penyanyi rap, komposer dan produser Malique yang turut tidak dapat hadir kerana menyambut kelahiran anak sulungnya kelmarin, pula cemerlang menerusi kategori lagu Inggeris tempatan terbaik, Album Hip Hop Terbaik dan Lagu Hip Hop Terbaik.

Kumpulan Indie kembali mengukuhkan kedudukan di persada seni aliran semasa, apabila Hujan membawa pulang dua anugerah termasuk Lagu Rock Terbaik (Bila Aku Sudah Tiada) dan Album Rock Terbaik (Hujan).

Sementara itu, pesaing terdekatnya, Meet Uncle Hussain diumumkan sebagai Artis Baru Terbaik manakala bakat baru, Aizat memenangi kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) dengan menewaskan nama besar lain seperti Bob, Reshmonu dan Rithan (anggota kumpulan Deja Voodoo Spells).

Bagi kategori lain, kumpulan nasyid popular, Rabbani kekal unggul tahun ini bagi Album Nasyid Terbaik. Bagaimanapun mereka terpaksa akur dengan kumpulan Raihan yang menggungguli persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik di dalam lagu.

Satu anugerah khas iaitu Anugerah Wirama diberikan kepada penulis lirik terkenal, Habsah Hassan. Acara AIM-16 yang dikendalikan Adibah Noor, Bob Lokman dan Afdlin Shauki, turut menampilkan persembahan artis hebat yang juga barisan finalis seperti M Nasir, Misha Omar, Rossa, Faizal Tahir, Alyah, Ayu OIAM, Nikki, Dina dan ramai lagi.

(BERITA HARIAN)




Tiada ulasan: