.

Selasa, 5 Mei 2009

AGENSI AWAM AMBIL 63,000 PEGAWAI KONTRAK


KERAJAAN akan mengambil 63,000 kakitangan untuk mengisi kekosongan jawatan dan sebagai pegawai kontrak dalam pelbagai agensi kerajaan bagi membantu memastikan ketidaktentuan ekonomi global tidak menjejaskan nasib golongan pekerja di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan memutuskan membuat pengisian segera 50,000 jawatan kosong pada peringkat profesional dan sokongan dalam perkhidmatan awam Persekutuan.

Katanya, bagi kumpulan sokongan, penurunan kuasa daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), akan diberikan kepada agensi berkaitan dan kerajaan akan mewujudkan 13,000 pekerjaan untuk pegawai secara kontrak di agensinya.

Beliau berkata, pengambilan akan dibuat menerusi skim perkhidmatan singkat membabitkan 4,000 tenaga kerja dengan kelayakan minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dengan gaji sebanyak RM1,200 sebulan.

“Kerajaan juga akan mengambil 1,000 siswazah sebagai guru sekolah secara kontrak dengan gaji bulanan RM2,000 dan menawarkan 800 orang bagi memantapkan Program Cari di bawah Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat untuk tempoh enam bulan hingga setahun.

“Kita juga akan mengambil 1,000 Pembantu Kesihatan Awam secara kontrak di pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk kerja pengawalan dan pencegahan penyakit berjangkit seperti denggi serta 4,500 pegawai kontrak sebagai Pembanci Perangkaan di Jabatan Perangkaan untuk banci penduduk.

“Selain itu, kerajaan akan turut mengambil 1,700 jururawat dan kakitangan sokongan hospital di Kementerian Kesihatan,” katanya ketika berucap membentangkan Bajet Mini di Dewan Rakyat, semalam.

Serentak itu, Timbalan Perdana Menteri juga memaklumkan kerajaan tidak akan menamatkan perkhidmatan seseorang pegawai lantikan kontrak lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan kecuali atas sebab tindakan tatatertib atau prestasi tidak memuaskan.



Tiada ulasan: