.

Sabtu, 16 Mei 2009

60,000 GRADUAN MASIH MENGANGGUR


K
UALA LUMPUR: Kira-kira 60,000 graduan di seluruh negara menganggur dengan sebahagian besarnya membabitkan lulusan dalam bidang pengajian yang kurang mendapat permintaan pasaran kerjaya, termasuk sains sosial dan kemanusiaan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata jumlah itu membabitkan semua peringkat graduan dan didapati masih menganggur dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

Bagaimanapun, katanya, bilangan itu tidak mencatatkan peningkatan atau perubahan drastik akibat krisis ekonomi global yang melanda.

"Bagi graduan (dalam bidang pengajian) yang mendapat permintaan rendah dalam pasaran kerja, perlu difikirkan sama ada mereka harus menjalani latihan. Universiti bukan tempat melatih, tetapi mendidik.

"Justeru apabila keluar (tamat pengajian), mereka perlu melalui pusat latihan dan ini sesuai dilakukan oleh Kementerian Sumber Manusia. Kementerian itu memang menyediakan program latihan tetapi dibuat untuk semua, tidak khusus untuk pelajar yang mengambil bidang seperti sejarah, geografi dan lain-lain.

"Saya sudah mengemukakannya kepada Kementerian Sumber Manusia dan secara prinsip mereka nampak kewajarannya.

"Itu antara cara meningkatkan nilai pasaran graduan. Jika berasakan itu untuk survival mereka (graduan), mereka mewajibkan diri mereka (untuk mengikuti program latihan itu apabila dilaksanakan)," katanya selepas melancarkan Karnival Kerjaya Dan Keusahawanan Graduan (K3G) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.

Pada majlis itu, Malaysia Book Of Records turut mengiktiraf K3G sebagai karnival kerjaya terbesar pernah diadakan di negara ini dengan penyertaan 600 syarikat yang menyediakan 13,000 tawaran kerjaya kepada graduan.


60,000

Tiada ulasan: