PM 1- Tunku Abdul Rahman
PM 2- Tunku Abdul Razak
PM 3- Tun Hussein Onn
PM 4- Tun Mahathir Mohamad
PM 5- Tun Abdullah Ahmad Badawi
PM 6 - Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak
.. . Alhamdulillah,
Malaysia selamat menerima Perdana Menteri baru iaitu Dato' Seri Najib bin Tun Hj Abd Razak pada hari Jumaat lalu. Berkat kesucian penghulu hari tersebut diharap membawa seribu Rahmat yang akhirnya membawa Malaysia kembali martabat di mata dunia. Legasi Perdana Menteri ke-6 Malaysia yang baru sekitar 72 jam menjawat jawatan Perdana negara itu memikul tanggungjawab yang terlalu berat.
Dari aspek Ekonomi, Dato' Seri Najib senasib dengan Presiden Amerika Syarikat; Barack Hussein Obama. Mereka terpaksa menerajui negara yang ditinggalkan dalam situasi kelembapan ekonomi yang semakin meruncing. Justeru, beliau memerlukan pemikir serta pakar-pakar penyelidik dalam bidang kewangan bagi membela nasib mereka yang diberhentikan kerja, mengawal defisit negara, merancakkan struktur ekonomi serta meningkatkan kembali KDNK negara. Beliau yang juga berpengalaman sebagai bekas Menteri Kewangan telah melaksanakan tugas yang difikirkan terbaik sebelum ini. Pakej Ransangan Pertama yang disuntik sekitar November 20o8 bertujuan merancakkan ekonomi negara diluluskan sebanyak RM7 Bilion. Namun, memandangkan krisis yang berlaku di peringkat global ini adalah yang paling teruk sejak perang dunia kedua, Pakej Ransangan Kedua yang melebihi jangkauan sesetengah pihak diumumkan baru-baru ini sebanyak RM60 Bilion. Semua golongan ditunaikan hak-hak mereka. Daripada peniaga kecil, pekerja yang diberhentikan,siswazah menganggur, pelajar yang ingin melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dan PhD, kesemua mereka dibantu. Untuk memastikan dana sampai kepada golongan sasaran maka beliau menubuhkan jawatankuasa bertindak bagi memantau pergerakan dana tersebut. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah juga kini semakin aktif mencari "jerung" dan "bilis" yang cetek kewarasan akal serta imannya.
Dalam aspek sosial pula, Perdana Menteri perlu memberi fokus terhadap isu-isu kontemporari yang dibangkitkan rakyat. Bukanlah bermaksud penulis menyarankan agar beliau memenuhi setiap kemahuan mereka. Namun, cukup sekadar mendengar masalah rakyat secara kolektif dan menyelesaikan mengikut keutamaan agar segala luahan dapat ditangani dengan profesional dan efektif. Masalah sosial yang hangat kini seperti seperti isu pendidikan iaitu PPSMI, isu Hak Asasi Manusia berkenaan tahanan ISA dan sebagainya. Penulis juga mengucapkan syabas kerana dalam ucapan sulung beliau tempoh hari, Perdana Menteri telah mengumumkan 13 tahanan ISA yang dipenjara sebelum ini untuk dibebaskan. Benar.. .tahanan ISA ini bukan itu sahaja. Namun, kita perlu sedar bahawa mereka yang masih ditahan perlukan masa untuk dibebaskan kerana kesalahan mereka bukan semudah mana untuk dimaafkan. Justeru, mereka perlukan tempoh untuk disiasat bagi mengekalkan keselamatan negara berada dalam keadaan tidak terancam. Perlu diingat bahawa ISA ditubuhkan untuk mengelakkan perkara buruk berkaitan KESELAMATAN NEGARA. Bukan sekadar jenayah biasa yang boleh diikat jamin semata-mata. Oleh itu, penulis bersetuju dengan tindakan Dato' Seri Najib agar ISA tidak dihapuskan tetapi akan dikaji semula agar kekuatannya sebagai salah satu undang-undang tegas kerajaan dilihat lebih relevan dengan situasi semasa. Amerika Syarikat; negara yang mempunyai sistem kawalan dan keselamatan paling canggih di dunia juga turut mengikut rentak Malaysia menggubal perundangan berkonsepkan ISA ala negara ini walau pun pada awalnya mereka menentang keras tindakan Malaysia. Justeru, andai kita hapuskan terus ISA ini, usah menyesal kemudian hari andai kita hidup dalam suasana peperangan, orang-orang tersayang mati di depan mata, rakyat kebuluran merata, sengketa ditambah dengan tangan 'pihak ketiga' yang menyemarakkan lagi api perbalahan sesama manusia. Andai benar ISA merupakan undang -undang rimba "zaman batu" yang menangkap pesalahnya tanpa sebarang perbicaraan maka anda adalah aset yang perlu menyuarakan hak ini menurut saluran yang betul. Demonstrasi, ceramah-ceramah jalanan, serta provokasi bukanlah acuan kita sekiranya mahu menjadi masyarakat bertamadun yang maju di dunia menjelang 2020 nanti. Isu lain yang dilakukan Perdana Menteri adalah seperti pengumuman penarikan semula akhbar Harakah dan Suara KeADILan, melakukan lawatan mengejut di Jalan Petaling serta kawasan sekitarnya. Ini menambahkan lagi kemesraan antara pemimpin dan masyarakat setempat.
Akhir sekali, penulis berharap agar anak sulung bekas Perdana Menteri Kedua ini bakal membawa orde baharu negara serta memartabatkan lagi Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat. Negara yang sejak berzaman mengamalkan konsep demokrasi berperlembagaan diharap dapat menyatukan semula rakyat berbilang kaum dan membela warganya dibawah konsep "SATU SUARA , SATU MALAYSIA".
Sekadar berkongsi keterujaan,
Fikir-fikirkan .. .

Tiada ulasan:
Catat Ulasan