.

Selasa, 28 April 2009

KPM KAJI CARA ATASI MASALAH GURU DAHULUKAN WANG SENDIRI

Kementerian Pelajaran memberi jaminan akan segera mengatasi semua kelemahan dalam sistem pengurusan di sekolah termasuk isu guru yang terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk menguruskan program sekolah.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kementerian akan melihat semua kemungkinan untuk mengatasi masalah itu termasuk menambah jumlah wang panjar runcit (petty cash) di sekolah supaya guru tak perlu mendahulukan wang sendiri.

Beliau berkata, isu itu perlu diselesaikan dengan segera kerana adalah tidak wajar guru dibebankan dengan tugas berkenaan lantaran ia tidak termasuk sebagai antara kewajipan guru melaksanakan tugas.

“Meskipun guru biasanya bersedia menjalankan tugas dengan rela hati demi kepentingan pelajar, namun sebagai manusia biasa, mereka juga sering tertekan jika diminta melakukan sesuatu yang di luar kemampuan.

“Justeru, masalah itu perlu diatasi segera dengan kajian mendalam. Saya akan meninjau keadaan itu dengan melihat senario sebenar pada peringkat Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan pengurusan sekolah.

“Semua program yang dirancang perlu perancangan lebih teliti dan mengelak daripada membebankan guru. Kita mahu guru berkhidmat dengan selesa supaya dapat menumpukan kepada tugas utama mereka dalam mendidik pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan khas Berita Harian, Ahad lalu berkenaan rungutan kebanyakan guru lantaran terpaksa mendahulukan duit sendiri untuk menjalankan pelbagai aktiviti sekolah.

Mengulas komen Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan yang bersetuju guru berhak menarik diri daripada melaksanakan program sekolah jika terpaksa mendahulukan wang sendiri, Muhyiddin berkata, ia adalah hak guru, namun mereka perlu mengutamakan tanggungjawab terhadap pelajar.

“Jika ia program tidak wajib, tak salah jika guru mahu menarik diri jika mereka tak mampu. Namun, kebiasaannya apabila ada program yang berserta pekeliling, suka atau tidak, guru perlu mengikuti program itu.

“Guru sering tersepit dalam hal ini. Nak hantar pelajar, tak ada duit dan tak mampu untuk keluarkan duit sendiri. Tak nak hantar, ia adalah arahan yang datang dengan pekeliling.

“Justeru, sewajarnya penganjur iaitu JPN atau PPD memastikan adanya peruntukan untuk program itu supaya guru dapat melaksanakan tugas mereka dengan selesa tanpa ada bebanan lain. Jika tak ada duit, tak payah buat dan guru pun tak payah menyertainya,” katanya.

Beliau berkata, antara misi utamanya sebagai Menteri Pelajaran adalah untuk meningkatkan profesion keguruan dengan melonjakkan imej mereka dalam menjalankan perkhidmatan serta tidak dibebani dengan pelbagai masalah sampingan yang boleh menjejaskan tumpuan mereka.

(Berita Harian - 28/04/2009)




Tiada ulasan: