.

Isnin, 20 April 2009

88,442 KEKOSONGAN JAWATAN DIIKLAN

Laman web JobsMalaysia.gov.my yang dikendalikan Kementerian Sumber Manusia mengiklankan 88,442 jawatan dalam pelbagai sektor untuk mereka yang terbabit dalam pemberhentian kerja secara tetap dan sementara.

Antara kekosongan jawatan yang ditawarkan ialah pekerja asas, pekerja perkhidmatan, pekerja kedai dan jurujual, pegawai kanan dan pengurus; operator loji, mesin dan pemasangan; profesional, pekerja perkeranian, juruteknik dan profesional bersekutu, pekerja pertukangan serta pekerja mahir pertanian dan perikanan.

JobsMalaysia (sebelum ini dikenali sebagai Sistem Penjodohan Pekerjaan (JCS) di ELX) adalah sistem penjodohan pekerjaan automatik atas talian yang disediakan kementerian itu.

Ia memberi kemudahan kepada pencari kerja mendapatkan peluang pekerjaan bersesuaian dan majikan pula boleh mendapatkan calon sesuai untuk mengisi kekosongan jawatan di syarikat mereka.

Menerusi sistem ini, pencari kerja boleh membuat permohonan pekerjaan dan majikan boleh menguruskan permohonan dengan semua kemudahan yang disediakan adalah percuma.

Minggu lalu, Berita Harian melaporkan kira-kira 30,650 pekerja tempatan dan asing diberhentikan di seluruh negara sejak Oktober 2008 hingga 14 April lalu.

Daripada jumlah itu, 23,149 pekerja diberhentikan di bawah skim pemberhentian tetap manakala 7,501 daripadanya pula secara sukarela, namun 2,900 pekerja tempatan ditempatkan semula mengikut sektor kekosongan di jabatan kerajaan dan swasta.

Sementara itu, berdasarkan jangkaan Kementerian Sumber Manusia sebanyak 7,000 pekerja dalam pelbagai sektor bakal diberhentikan hingga akhir tahun ini berikutan keadaan ekonomi dunia.

Menurut laman web itu, sehingga semalam, jumlah kekosongan jawatan tertinggi dicatatkan oleh pekerja asas iaitu 42,575 diikuti pekerja perkhidmatan, pekerja kedai dan jurujual (15,111), pegawai kanan dan pengurus (8,409), operator loji, mesin dan pemasang (7,927), profesional (4,741), pekerja perkeranian (4,665), juruteknik dan profesional bersekutu (4,284), pekerja pertukangan (725) serta pekerja mahir pertanian dan perikanan (5).

Laman web itu turut melaporkan bahawa jenis jawatan yang menerima permohonan paling tinggi ialah pegawai kanan dan pengurus, pekerja perkeranian, profesional, pekerja asas, pekerja perkhidmatan, pekerja kedai dan jurujual serta juruteknik dan profesional bersekutu.

(BERITA HARIAN)





Tiada ulasan: