.

Ahad, 15 Mac 2009

TELEFON BIMBIT BERKAMERA : HAK PRIVASI WANITA SEMAKIN TERGUGAT


Negara menjejaki kemajuan teknologi terkini yang pantas menyelusuri dunia. Lantas, dengan hasrat membawa seribu kebaikan diharap pembawaan arus perdana tersebut menyemarakkan lagi semangat cintakan perkembangan kemajuan bidang Sains yang ternyata membawa kemudahan kepada semua.

Namun, di sebalik hijab kebaikan ada juga perkara yang tak enak didengar. Kepesatan teknologi mudah pula disalahguna oleh golongan yang tidak bertanggungjawab serta mempunyai minda ala 'kebinatangan' malah lebih teruk dari haiwan tak berfikiran tersebut.

Isu yang turut menjadi bualan belakangan ini berkaitan hak privasi khususnya wanita yang diteroka sesuka hati oleh kaum yang sepatutnya menjadi pemimpin golongan ini. Ada kes-kes yang melibatkan adegan yang tidak diketahui oleh mangsa, ada juga rakaman berbentuk sekadar 'simpanan peribadi' tetapi akhirnya menjadi beban kepada mangsa yang hanya memikirkan keseronokan dunia semata-mata.

Tempoh hari kes seorang mangsa yang berusia 17 tahun. Teman lelakinya berusia 23 tahun yang ketagih dengan permainan seks bebas mengugut mangsa kerana tidak menuruti kemahuan dan kehendak nafsunya. Maka adegan sebelum ini yang pernah dirakam bakal menjadi 'hidangan' kepada pihak ketiga. Ada juga kes melibatkan seorang jururawat yang diugut oleh teman lelakinya untuk menyebarkan kisah intim mereka di suatu tempat peranginan sekitar tahun 2007 sekiranya teman wanita itu memutuskan hubungan kekasih antara mereka. Persoalan yang timbul siapakah dalam kes ini yang menjadi punca dan harus dipersalahkan?

Kes lain melibatkan seorang wanita yang mendakwa dirinya telah dirogol dan aksi mereka sengaja dirakam oleh perogol dengan menggunakan telefon bimbit. Wanita ini kemudiannya trauma serta membuat laporan polis kerana lelaki berkenaan menyebarkan klip video tersebut secara meluas. Tidak kurang juga kes melibatkan pemimpin di Bukit Lanjan. Semua sedia maklum bukan niat beliau untuk sengaja membuat aksi separuh bogel ketika tidur. Kegiatan dalam bilik secara berseorangan adalah hak individu tersebut. Namun, privasinya turut diceroboh oleh orang yang masih lagi dalam buruan polis untuk dibawa ke muka pengadilan. Dalam hal sebegini, siapa pula yang bertanggungjawab dan perlu dipersalahkan?

Umum mengetahui hak privasi individu adalah tanggungjawab masing-masing. Kecanggihan teknologi bukanlah aset yang perlu diletakkan kesalahan secara major kerana kepesatan teknologi ini pernah juga menyumbang perkara-perkara yang membawa kebaikan. Misalnya, dengan rakaman telefon bimbit maka aksi kegiatan pecah rumah dapat dibongkar seperti yang berlaku di Selangor baru-baru ini. Rakaman perbincangan berkaitan peguam negara yang pernah menjadi isu melibatkan bekas pemimpin ulung tanah air juga sedikit sebanyak turut membantu siasatan kepada pihak mahkamah. Kes pertikaian oleh Pemuda UMNO terhadap Karpal di lobi Parlimen untuk membuktikan siapa yang memulakan kekecohan turut menyumbang sebagai bukti kepada masyarakat luar yang hanya memalitkan persepsi sangkaan.

Ternyata walau dengan contoh-contoh kecil ini sekali pun, telefon bimbit dilihat mampu membuktikan kegunaannya yang signifikan untuk memaparkan bukti dalam membantu siasatan kes samada kepada pihak polis, mahkamah, wartawan dan pihak-pihak yang memerlukan di samping tujuan sebenar untuk merapatkan hubungan persahabatan, kekeluargaan atau mereka yang terpisah atau berjauhan.

Justeru, dengan kecanggihan teknologi kini maka diharap sesuai dengan tahap intelek warganya yang sedang menuju kemuncak negara maju sekitar 10 tahun akan datang. Kebejatan moral perlulah diubat mulai sekarang agar martabat wanita yang seharusnya diangkat dan terpelihara tidak akan tergadai oleh insan-insan yang lemah cabang iman, akal serta liku fikirannya.
Wallahu a'lam, hanya berkongsi pandangan.
Fikir-fikirkan .. .

Tiada ulasan: