.

Jumaat, 27 Mac 2009

PEMILIHAN UMNO - DARI KACA MATA PRESIDEN A.D.A.M



Saudara Khairy Jamaludin Abu Bakar

Khairy, KJ, atau apa lagi gelaran unik untuknya, maka, seunik namanya, jika dirungkai pertandingan tiga penjuru diantara Khir Toyo, Mukhriz dan KJ, ada ciri unik masing-masing yang kita boleh perhatikan. Khir dengan pengalaman selaku Menteri Besar Selangor, pengalaman mentadbir cuma mungkin, insiden 'penyapu' masih belum dapat dilupakan oleh sekelian rakyat Selangor malahan juga seluruh rakyat Malaysia. KJ pula, menantu PM yang petah berpidato, semangat orang muda, bijak mengatur kata dan tidak beberapa hari sebelum pertandingan dikaitkan dengan skandal rasuah, namun beliau hanya dikenakan amaran kerana tiadanya bukti yang kukuh untuk menyabitkannya (jika menurut Lembaga Disiplin UMNO lah).

Di sini, sudah bermulalah sekelian rakyat dengan teori kemungkinan sebab-musabab Lembaga Tatatertib membuat keputusan sebegitu kerana ingin menjaga menantu Pak Lah ini, dan sebagainya, namun andaian ini hanya sekadar andaian tanpa dapat dibuktikan kesahihannya. Manakala Mukhriz, selaku orang baru di dalam dunia kepimpinan, agak 'low profile' melainkan keberaniannya menyuarakan hasrat betapa Pak Lah harus berundur demi tanggungjawab di atas kekalahan teruk BN di dalam PRU ke 12. Selain itu, faktor terpenting lain, beliau merupakan anakanda kepada Tun Dr Mahathir. Dan satu kelebihan nyata yang dimiliki Mukhriz dan tidak dimiliki oleh calon lain ialah Mukhriz mendapat pencalonan yang jauh lebih tinggi berbanding dua calon lain. Ini kenyataannya.

Ramai sudah mencongak bahawa Mukhriz merupakan calon paling layak menjawat jawatan Ketua Pemuda UMNO yang baru berasaskan kepada ketenangan, kebijaksanaan serta kesopanan beliau menuturkan kata malahan beliau sebenarnya tidak banyak bercakap berbanding bekerja. Dengan pencalonan sedemikian tinggi daripada seluruh negara menggambarkan betapa akar umbi mahukan beliau memimpin teraju barisan muda negara. Namun, sebagaimana yang kita tahu, Mukhriz tewas, bukan kepada Khir Toyo, tetapi kepada Khairy Jamaludin. Saya tidak perlu ulas lanjut kerana teori kemenangan Khairy ada pelbagai. Ada yang kata Pak Lah memberikan bantuan sokongan, ada yang kata rasuah dan sebagainya. Namun, walau apa pun ia, itu semua masih bersifat andaian.

Kemenangan Khairy di PWTC sebagaimana yang kita saksikan tempohari tidak disambut dengan ceria malahan reaksi kurang menarik daripada sebahagian besar perwakilan Pemuda UMNO. Apa pun yang menang tetap menang. Namun, saya mengagumi Mukhriz kerana tetap menunggu sehingga ke akhir tanpa pulang awal walaupun tewas. Ciri ini tiada pada Khir dan Rafidah (yang tidak kelihatan lagi setetlah keputusan diumumkan). Sekali lagi saya tegaskan, bukannya saya peminat atau 'bias' kepada Mukhriz tetapi ini realiti yang harus kita kongsikan bersama.

Bukan kecil tanggungjawab Khairy, kerana hakikat yang perlu diterima, golongan muda masakini sudah tidak didengar suaranya. Itulah sebabnya, ramai golongan muda lebih cenderung untuk memilih Parti Pembangkang sebagai palatform perjuangan mereka kerana di sana, mereka lebih di dengar dan lebih diberi peluang (berbanding BN yang mahir dengan bab cantas mencantas). Maka, Khairy perlu memikirkan segera, ramuan serta formula terbaik untuk menarik minat golongan muda agar menyertai UMNO serta berjuang di dalam UMNO. memang berat tugas ini. Kita boleh melihat di dalam beberapa siri pilihanraya umum yang lalu, Permatang Pauh, Kuala Terengganu, golongan muda yang berkempen rumah ke rumah, agresif di dalam mempromosikan calon datangnya dari Parti Pembangkang. Seolah semangat golongan muda di dalam BN sudah pupus (jika ada pun tidaklah menonjol sepertimana mereka). Khairy tidak boleh mengambil pendekatan tunggu dan lihat. Sebaliknya perlu segera bertindak mengatasi masalah ini.

Disamping itu Khairy juga perlu membuang sejauhnya pengaruh Pak Lah di dalam tindakannya dan menunjukkan bahawa beliau boleh bergerak sendiri dengan umurnya yang baru mencecah 32 tahun. Banyak yang perlu dilakukan, jika tidak Pemuda UMNO juga hanya dianggap jelik dan memualkan di kalangan orang muda. Ini perlu diambil perhatian !!

(Dipetik daripada blog Presiden Alumni Debat Melayu Malaysia (ADAM) - klik Di Sini)



Tiada ulasan: