.

Isnin, 16 Mac 2009

MALAYSIA-BRUNEI SETUJU CARA SELESAI ISU SEMPADAN


BANDAR SERI BEGAWA
N, 15 Mac -- Isu berhubung pertikaian sempadan Malaysia-Brunei Darussalam dijangka selesai dengan termeterainya Surat Pertukaran yang mengandungi prinsip kerjasama bagi menentukan sukatan sempadan laut dan darat.


Menyatakan hal itu, Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata di sini hari ini sebuah jawatankuasa teknikal bersama kedua-dua negara akan dibentuk untuk melaksanakan tugas tersebut.

Surat Pertukaran mengenai hal itu akan dimeterai antara Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Darul Iman esok, kata Rais.

Menyifatkan upacara itu sebagai pencapaian penting dalam hubungan antara kedua-dua negara, Rais berkata ia menandakan berakhirnya pertikaian yang telah lama berlarutan berhubung sempadan darat terutama yang membabitkan Sarawak, serta sempadan maritim.

"Pertukaran surat-surat berkaitan...mengandungi beberapa prinsip kerjasama untuk dilaksanakan bagi menentukan sukatan di maritim dan daratan," katanya kepada wartawan Malaysia yang mengikuti lawatan Perdana Menteri ke Brunei di sini Ahad.

Rais berkata, "Akhirnya kita akan menentukan juga beberapa kawasan komersil dan lautan yang pada masa ini telah dipersetujui pada dasarnya oleh kedua-dua negara dan ia nanti akan libatkan kepentingan komersil bagi kedua-dua negara selain penentuan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan perairan wilayah".

"Pencapaian antara Perdana Menteri dan Sultan Brunei (dalam mengakhiri pertikaian kawasan sempadan ini) amat tinggi nilainya dalam konteks kerjasama dalam Asean dan antara kedua negara," katanya.

Beliau berkata kedua-dua negara telah menggunakan "lima perjanjian yang lama berkaitan sukat menyukat tanah serta perairan yang bermula sejak 1920. Kelima-lima perjanjian akan menjadi petua kepada urusan selanjutnya".

Selain menggunakan prinsip "watershed," yang akan menjadi panduan kepada kedua-dua pihak untuk sukatan darat, serta United Nation Convention on Law of the Sea untuk menetapkan EEZ dan perairan wilayah, katanya.

Beliau berkata perbincangan untuk mencapai persetujuan ini telah mengambil masa enam tahun dengan sebanyak 39 sesi diadakan di antara kedua-dua negara.

Antara isu persempadanan termasuk tuntutan bertindih ke atas daerah Limbang serta kawasan perairannya yang kaya dengan minyak dan gas yang telah menyebabkan usaha penerokaan dua bahan bakar itu di kawasan terbabit terpaksa dihentikan.

(Sumber: http://www.topix.com/forum/world/malaysia/TRF47L57HDF8I912T)


Tiada ulasan: