.

Khamis, 12 Mac 2009

CECAIR SYAITAN:GOLONGAN WANITA DINASIHAT AGAR LEBIH BERHATI-HATI



Niat seorang gadis hanya mahu mencari pekerjaan di ibu kota, tetapi lain pula jadinya apabila menjadi mangsa ratahan tiga lelaki kenalan seorang wanita yang disangkanya budiman di Hentian Puduraya.

Gadis itu yang baru tiba dari Alor Star, Kedah, mulanya terkial-kial di hentian bas berkenaan sebelum disapa wanita berusia 30-an yang berpura-pura untuk membantu mangsa.

Wanita itu mempelawa gadis itu minum di kedai berhampiran sambil meneruskan perbualan mereka.

Dalam diam-diam, wanita itu memasukkan sejenis ‘cecair syaitan’ ke dalam minuman untuk membuatkan gadis itu pening dan khayal selepas beberapa minit meneguknya.

Sumber polis berkata, dalam kejadian Sabtu lalu, mangsa yang berusia 22 tahun berhasrat berhijrah ke ibu kota untuk mencari pekerjaan.

“Sebaik tiba di hentian bas berkenaan, dia tenggelam punca kerana tiada sesiapa dikenalinya hingga terserempak wanita tidak dikenali itu yang menegurnya.

“Suspek berpura-pura simpati dengan nasib mangsa. Bermula dengan perkenalan singkat itu, mangsa memberitahu niatnya datang ke ibu kota untuk mencari pekerjaan.

“Berikutan itu, wanita terbabit berjanji membantu mangsa sambil menawarkan tempat tinggal di rumahnya di Ampang,” katanya.

Dia berkata, gadis malang itu turut dipelawa minum di sebuah kedai berhampiran.

Sambil berbual dengan mangsa, wanita itu meletakkan sesuatu di dalam air minuman menyebabkannya tiba-tiba pening dan lemah.

Selepas melihat mangsa mulai khayal, dia diminta ikut ke Ampang.

Sumber itu berkata, mangsa mengikut wanita berkenaan ke rumahnya sebelum dibawa ke dalam bilik untuk berehat.

“Dalam keadaan separuh sedar, pintu bilik tiba-tiba dibuka sebelum tiga lelaki tidak dikenali masuk.

“Ketiga-tiga mereka memperkosa mangsa berulang kali,” katanya.

Mangsa pengsan sejurus dirogol beberapa jam.

Bagaimanapun, apabila tersedar, dia mendapati seorang lagi lelaki di bilik berkenaan.

Lelaki itu cuba memperkosanya sekali lagi, tetapi mangsa melawan sebelum berjaya melarikan diri.

Selepas keluar dari rumah berkenaan, mangsa terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk membuat laporan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Ampang, Deputi Superintendan Goh Lee Fook yang dihubungi mengesahkan kejadian itu, namun enggan mengulas lanjut berikutan polis masih mengambil keterangan daripada suspek bagi membantu siasatan.

Dalam beberapa kes sebelum ini, polis mengesan kewujudan cecair diperbuat daripada bahan pengawet dikenali ‘phencyclidine’ untuk mengkhayalkan mangsa sebelum diperkosa.

Cecair itu akan membuatkan penglihatan mangsa kabur, pening kepala dan hilang ingatan sementara dan kesannya lebih buruk daripada menghisap ganja.

Seorang perogol bersiri berusia 20-an dilaporkan pernah menggunakan cecair klorofom untuk membuat mangsa pengsan sebelum diculik dan diperkosa.

(SUMBER: HARIAN METRO)

Tiada ulasan: