.

Selasa, 3 Mac 2009

AIR MATA INSAF MENGALIR DI KONSERT MAULIDUR RASUL









Mesej yang ingin disampaikan kepada penonton menerusi konsert kali kedua anjuran Rabbani Productions (M) Sdn Bhd (RPSB) itu berjaya membawa masyarakat menelusuri kelahiran, perjuangan dan saat kewafatan Rasulullah s.a.w sehingga memberi kesan kepada mereka.

Malah ketika penceramah, Datuk Siti Nor Bahyah Mahmood menceritakan bagaimana Rasulullah meminta izin Allah untuk merasai kesakitan ketika nyawa dicabut seperti manusia lain, nyata bibir baginda masih menyebut umatnya.

Ada penonton mengalirkan air mata kerana tersentuh dengan kasih sayang insan agung itu walaupun di saat kewafatan. Maka tidak hairanlah, konsert yang mendapat tajaan Telekom Malaysia Berhad (TM) dengan persembahan dalam bentuk nyanyian, qasidah, tazkirah, pentorama dan multimedia secara selang seli itu memberi penghayatan kepada penonton sepanjang tempoh dua jam ia berlangsung.

Konsert yang menampilkan nama besar dalam industri muzik seperti Datuk Siti Nurhaliza, Amy Search, Mawi dan Akhil Hayy itu dirasmikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Kumpulan TM, Datuk Bazlan Osman, bekas Naib Presiden Pasaran Produk TM, Datuk Mohd Taib Hassan dan Pengurus Besar Kumpulan Hal Ehwal Korporat Media Prima Berhad, Badariah Jalil.

Persembahan dimulakan dengan bacaan surah Al-Anbiyaa ayat 107 diikuti pentorama kelahiran Nabi Muhammad s.a.w dan lagu Rasulullah Junjungan yang dinyanyikan semua penyanyi.

Konsert diteruskan dengan tazkirah disampaikan Siti Nor Bahyah mengenai kehidupan awal Rasulullah sebelum menerima wahyu pertama disusuli persembahan artis.

Antara lagu disampaikan secara solo adalah Al-Jannah oleh Mawi, Al-Mu'allim (Akhil Hayy), Tiada Lagi (Amy Search), Mana Milik Kita, Munajat dan Intifada (Rabbani) serta Kudus Sinarmu (Siti Nurhaliza).

Lebih menarik apabila Rabbani turut berduet dengan artis lain. Duet bersama Siti dipilih lagu Ketika Cinta, Salamun Salam (Akhil Hayy), Saksi (Mawi) dan Mentari Merah di Ufuk Timur (Amy).

Setiap persembahan itu diselang seli dengan perjalanan hidup Rasulullah yang disampaikan Siti Nor Bahyah seperti peristiwa Israk dan Mikraj, kasih sayang Nabi Muhammad terhadap keluarga sehinggalah kewafatan baginda. Konsert berakhir dengan semua artis berkumpul dan membaca selawat bersama dengan penonton.

Dalam sidang medianya, Pengarah Urusan RPSB merangkap vokalis Rabbani, Mohamad Asri Ibrahim, berkata melihat kepada sambutan penonton serta maklum balas yang diterima, beliau yakin matlamat penganjuran konsert itu berjaya dicapai.

"Saya cukup terharu dengan penghayatan penonton di sepanjang konsert ini malah ada yang mengalirkan air mata keinsafan dengan pengorbanan Nabi Muhammad dalam memperjuangkan syiar Islam.

"Saya juga amat berterima kasih kepada TM kerana sudi menjadi penaja utama, TV3 selaku penyiar utama dan artis yang membuat persembahan pada malam ini walaupun ada komitmen lain. Misalnya Datuk Siti Nurhaliza yang masih bersedih atas kematian ayahanda, namun mampu memberi persembahan hebat," katanya.

Asri berkata, beliau amat berpuas hati dengan sambutan serta persembahan sepanjang konsert malah menaruh keyakinan untuk menganjurkannya secara tahunan demi memastikan objektif menyemai rasa cinta kepada Rasulullah tercapai.

"Kita sudah menganjurkan konsert sama pada 2007 dan Insya-Allah, memang ada impian untuk mengadakannya secara tahunan tetapi jika tidak dapat, tempoh dua tahun sekalipun tidak mengapa.

"Bagi kami, apa yang penting dakwah yang cuba disampaikan. Misalnya menerusi konsert ini kitab berzanji dialihkan ke bahasa Melayu agar penonton lebih menghayati sifat Rasulullah ditambah dengan aura setiap penyanyi tersohor negara, ia memberi impak serta tarikan tersendiri kepada penonton," katanya.

Secara berseloroh, beliau berkata, mungkin artis sama akan dijemput dan dibentuk sebagai satu kumpulan dipanggil Kumpulan Konsert Malam Sinar Maulidur Rasul pada masa akan datang.

Asri yang berduet buat pertama kali dengan Siti Nurhaliza menerusi lagu Ketika Cinta berkata, ia boleh menjadi satu permulaan kerjasama antara mereka.

"Pada mulanya, saya memilih lagu lain tetapi beliau mencadangkan Ketika Cinta yang dijadikan lagu tema filem Indonesia, Perempuan Berkalung Sorban. Jadi saya cuba membawanya sebaik mungkin," katanya.

Legenda rock tanah air, Amy Search yang buat pertama kali menjayakan konsert itu mengakui ia satu pengalaman berbeza dengan apa yang ditempuhnya sepanjang terbabit dalam industri hiburan.

"Saya anggap ia sebagai titik kerjasama yang indah dengan Rabbani dan satu hijrah. Malah saya bangga dengan sambutan di luar dugaan penonton yang datang.

"Ini membuktikan bahawa program dakwah juga mampu mendapat sambutan yang bagus daripada orang ramai tetapi apa yang penting adalah penghayatan mereka," katanya.

Menurut Amy, walaupun membuat persembahan di sebuah platform berbeza, apa yang penting adalah ekspresi serta penghayatan ketika membawa sesebuah lagu itu.

Sementara itu, Siti Nurhaliza berkata, Ketika Cinta dipilih sebagai lagu duet dengan Rabbani kerana ia membawa mesej bersesuaian dengan objektif konsert.

"Saya sudah berbincang dengan Ustaz Asri dan tidak salah rasanya mempersembahkan lagu yang saya sampaikan sebagai lagu tema filem Indonesia itu untuk peminat di sini kerana mempunyai mesej bersesuaian dengan matlamat penganjuran," katanya.

- HARIAN METRO-
________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________

Tiada ulasan: