.

Ahad, 22 Mac 2009

2 BULAN AMERIKA DI BAWAH OBAMA: APA YANG TELAH DILAKUKAN??

Hari ini bertarikh 22hb Mac 20o9. Ini bermakna pentadbiran Presiden berkulit hitam terulung di bumi Amerika Syarikat telah memasuki hari pertama dalam bulan ke-3 setelah peralihan kuasa yang dilakukan dengan sumpah setia pada awal pagi 21hb Januari 20o9 yang lalu. Barack Hussein Obama; beliau yang merupakan pendebat tersohor dek kerana darah peguam yang mengalir ditubuhnya begitu petah berkata-kata dan bijak mengatur strategi dalam misi mengalahkan pencabarnya, Senator McCain daripada parti Republikan. Dalam beberapa siri debat beliau, Obama dilihat acap kali mematahkan hujah McCain dalam meraih sokongan majoroti rakyat Amerika Syarikat.

Dua bulan lepas, rakyat Amerika Syarikat sanggup berpusu-pusu dalam keadaan cuaca sejuk semata-mata ingin menyaksikan peristiwa bersejarah pemimpin barunya mengangkat sumpah. Presiden Amerika yang ke-44 itu berjanji untuk melunaskan beberapa "Agenda" yang menjadi misi utama dalam ucapan sulungnya iaitu "memelihara, melindungi dan mempertahankan' perlembagaan AS. Justeru, pelbagai rancangan diatur demi merealisasikan hasrat dalam kempen Presiden AS-nya yang lalu.

Dalam isu Fatah-Hamas beliau menghantar wakil ke persidangan yang direncanakan oleh Mesir. Pelbagai sumbangan diraih untuk membangunkan negara yang telah hancur diganyang dek Zionis dalam perang 22 hari lalu. Namun, hak kerajaan sah (Hamas) tetap tidak dipertahan. Tiada wakil yang dijemput untuk menghadiri sidang malah Hillary bertegas agar dana yang disumbang perlu diketatkan keselamatan agar tidak jatuh ke tangan kerajaan Hamas.
Apa yang Obama lakukan?


Tidak berhenti setakat itu, AS juga mengambil jalan untuk berbaik-baik dengan negara Islam. Justeru, Iran ditawarkan platfom untuk memperbaiki hubungan AS-Iran yang selama ini dilabel oleh pimpinan Bush sebagai negara paksi keganasan. Namun, hari ini negara teluk itu seolah-olah sudah jemu dengan sandiwara AS. Malah, dalam siri ucapan semalam salah seorang pemimpin Iran berkata; andai AS mahukan hubungan yang baik antara mereka, Obama perlu merubah sikap warga AS terlebih dahulu agar dunia menjadi lebih adil. Hubungan AS juga perlu dipandang secara serius dengan beberapa negara Islam yang lain seperti Afganistan, Pakistan, dan Iraq. Setakat ini hanya yang dilaksanakan adalah penutupan penjara di Guantanamoa. Itu pun sekadar "gula-gula" untuk mengubah persepsi dunia terhadap dirinya. Namun, andai beliau ikhlas dalam isu ini, penutupan bukan setakat setahun sahaja tetapi untuk selama-lamanya.
Apa yang Obama lakukan?


Berkenaan dengan agenda ekonomi pula, pelbagai pakej ransangan yang ditandatangani beliau sejak menjadi Presiden mulai Januari lepas. Namun, sehingga ke hari ini prestasi Dow Jones dilihat semakin lemah dan tenat. Dasar kapitalisme yang dibangga-banggakan AS selama ini ibarat 'keris makan tuan'. Ramai pekerja-pekerja di negara itu kini mulai menganggur. Syarikat-syarikat gergasi pula telah banyak yang gulung tikar. Hatta, dalam berita baru-baru ini sebahagian warganya mula berkhemah di suatu kawasan lapang di AS kerana menghadapi kekangan kewangan.
Apa yang Obama lakukan?


Isu persengketaan dengan negara-negara kuasa Nuklear juga tidak menunjukkan tanda-tanda pemulihan. Korea Utara semakin berani memperhebat aktiviti persenjataan sehingga menghebahkan kepada dunia tentang kekuatan yang negara tersebut miliki. Malah, Korea Utara dengan lantang menyuarakan perasaan dendam yang membara terhadap Amerika Syarikat.
Apa yang Obama lakukan?


Agenda seterusnya berkisar tentang perubahan cuaca dan suhu dunia yang kini mengalami iklim tidak menentu. Walaubagaimana pun, sehingga ke hari ini Obama masih lagi tidak menandatangani 'Protokol Kyoto' yang dikatakan berakhir sekitar 2012 nanti. Protokol tersebut telah dimeterai oleh semua negara-negara maju untuk menghadkan pelepasan gas-gas karbon terpilih yang dikatakan berbahaya ke udara. Kesan rumah hijau telah lama dibiar begitu sahaja. Andai ditinjau dari suatu sudut, Pemimpin Australia yang menggantikan John Howard iaitu Kevin Rudd; bertindak pantas. Setelah memenangi pilihanraya dan menjadi Perdana Menteri, antara langkah awal beliau adalah menandatangani Protokol tersebut yang telah lama diingkari semasa pemerintahan Howard. Kini, hanya AS satu-satunya negara yang masih enggan menandatangani perjanjian dunia itu.
Apa yang Obama lakukan?

Secara ringkasnya, andai dikatakan Presiden ini bakal membawa perubahan kepada aspirasi warga dunia..di mana asasnya?

Benar.. . dalam isu hubungan dua hala (negara-negara Islam), isu pemulihan ekonomi dan isu Nuklear perlu memakan masa sehingga bertahun-tahun untuk memperolehi hasil yang sewajarnya. Justeru, sekadar dua bulan bukanlah ukuran yang adil buat Obama sehingga dunia menjatuhkan hukuman pentadbiran beliau sama sahaja dengan pemimpin terdahulu. Namun, adakah tempoh sesingkat ini pun memerlukan masa yang terlalu panjang untuk menandatangani Protokol Kyoto (isu iklim dunia) dan mengarahkan dana pembangunan Palestin kepada pihak yang berhak menentukan kerajaan pimpinannya? Sedangkan gagasan demokrasi atau negara demokratik adalah perihal yang dilobi secara meluas oleh negara berkenaan.

Justeru, penulis ingin tinggalkan persoalan berkaitan Agenda Pemimpin AS ini kepada pembaca.
Apa pula persepsi anda terhadap beliau dalam merealisasikan :

1.) Agenda hubungan dengan Negara Islam,
2.) Agenda krisis ekonomi global,
3.) Agenda negara kuasa Nuklear,
4.) Agenda perubahan cuaca & iklim dunia,
5.) Agenda Israel-Gaza.

Penjelasan dan pendapat anda merupakan perkembangan sensitiviti masyarakat kita yang perlu direnungkan bersama. Segala tulisan ini sekadar pendapat penulis hasil daripada pengamatan dan pembacaan semata-mata.

Wajarlah kiranya difikir-fikirkan secara bersama .. .
Wallahu a'lam .

2 ulasan:

zackque berkata...

xnak komen pasal obama... cuma nak mintak no phone joe yg baru klu ada... ni no abg... antar kt friendster ek... thanx...

AnDeH berkata...

Brother Zahari,
kite jmp di friendster ye.
tQ, wallahu a'lam

-Andeh-