.

Jumaat, 20 Februari 2009

"ANGGUR" ITU PAHIT

____________________________________________________________________
Kira-kira tiga minggu lepas kita dikhabarkan dengan berita pengangguran yang melebihi 20,000 orang di pelbagai sektor dalam negara. Justeru, berita yang menyatakan masih terdapat beribu-ribu jawatan kosong dan peluang pekerjaan dalam sektor Perkidmatan Awam yang diwar-warkan dua atau tiga hari belakangan ini seakan masih belum mampu menyelesaikan masalah yang sedia dihadapi. Hari ini sahaja peningkatan pengangguran telah meningkat sehingga mencecah 80,000 orang!! Itu belum lagi ditambah dengan jangkaan peningkatan sebanyak 45,000 orang yang bakal diberhentikan menjelang 31 Disember 2009 nanti. Samada pemberhentian secara kekal atau hanya bersifat sementara, kadar ini dilihat amat membimbangkan kita. Pihak syarikat pula sedang rancak mengumpul maklumat serta merangka strategi terbaik yang difikir mampu 'menyelamatkan' firma masing-masing. Justeru, pelbagai sistem ditawarkan seperti skim potongan gaji, skim VSS, pembuangan kerja, cuti rehat tanpa gaji dan lain-lain. Natijahnya, semakin ramai yang kehilangan punca pendapatan untuk menampung kos sara hidup seharian yang semakin mendadak.

Kekalutan untuk mendapatkan pekerjaan juga makin bertambah dengan kehadiran 'warga junior' daripada menara gading. Di Malaysia, kita ada lebih daripada 10 buah IPTA dan IPTS. Antaranya; UPSI, UTP, UMP, UNIMAP, UTHM, UTEM, UNITAR, UNITEN, UKM, UIAM, UTM, UPM, UM, USM, UMS, UNIMAS, dan UUM. Itu belum termasuk kampus cawangan seperti UM di Nilam Puri, USM di Kubang Kerian dan UTM di Jalan Semarak, K.L. Tambahan pula, Universiti terbesar di Asia Tenggara iaitu UiTM sahaja ada 14 cawangan seluruh negara dengan 6 buah kampus bandaraya/kota di 6 buah negeri. Lambakan graduan ini terpaksa bersaing dengan pekerja-pekerja yang telah dan akan diberhentikan. Mereka juga perlu bersaing dengan graduan warga tempatan yang belajar di luar negara. Sudah tentu jumlah graduan ini semuanya mampu membentuk kumpulan askar untuk melawan musuh seandainya negara menerima ancaman daripada mana-mana pihak. Dalam kes sebegini, kebiasaannya ''seutas pengalaman mampu mengatasi segulung ijazah" dalam genggaman. Majikan lebih berminat untuk mengambil pekerja kalangan mereka yang sudah ada pengalaman. Mungkin disebabkan faktor etika kerja yang sedia ada tatkala diadun dengan budaya kerja berwawasan serta berkemahiran. Ini mampu mengurangkan kos latihan pekerja baru oleh pihak organisasi/firma tersebut.

Persaingan bukan sekadar penganggur dari dalam negara semata-mata. Kita sedia maklum bahawa terdapat juga pekerja-pekerja warga Malaysia yang berkhidmat di luar negara. Sebahagian daripada mereka turut pulang ke tanah air dek tuntutan semasa seperti kos sara hidup yang melambung atau kehilangan pekerjaan. Misalnya; akhir tahun 2008 lalu, sekitar 20,000 orang warga Malaysia yang berkhidmat di Singapura telah kembali kerana diberhentikan. Singapura terpaksa berbuat demikian kerana mereka adalah salah sebuah negara yang menerima kesan langsung daripada krisis di Amerika Syarikat. Ekonomi negara itu banyak bergantung secara terus kepada negara Amerika.

Berbekalkan jumlah pengangguran yang bakal mencatatkan peningkatan selepas ini, maka sudah pasti isu sosial pula akan tergugat. Statistik-statistik berkaitan kes kecurian, rompakan, pengedaran dadah, pelacuran, samun dan pecah rumah pasti akan turut melonjak. Ada juga yang mengambil 'jalan pintas ke neraka' untuk menghilangkan masalah yang melanda dengan penyalahgunaan dadah, pinjaman along dan bunuh diri. Pengangguran melibatkan warga asing seperti Indonesia, Filipina, dan Kemboja yang majoriti bekerja dalam sektor pembuatan dan perkilangan sudah tentu bakal mencipta seribu satu masalah kepada masyarakat kita. Negara pasti akan menghadapi huru-hara andai langkah awal tidak dilaksanakan mulai sekarang. Ekonomi, Politik, dan Sosial adalah 3 elemen yang saling berkait. Intelek pemimpin dengan sokongan padu rakyat adalah inti yang paling tegap melawan gelombang yang menghempas kuat.

Semoga masih ada jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah-masalah ini supaya kita terus mampu berusaha merealisasikan agenda tahun 2020 untuk menjadi bangsa yang disegani dan dihormati seantero dunia.
Sekadar berkongsi, Fikir-fikirkan .. .
____________________________________________________________________

Tiada ulasan: