.

Sabtu, 24 Januari 2009

CABARAN EKONOMI ALAF INI

____________________________________________________________________
Tragedi 11 September 2001 membawa seribu satu implikasi kepada suasana ekonomi global. Sejak WTC di serang oleh sekumpulan pengganas di Amerika Syarikat; pemimpin negara Unipolar itu telah bertekad mencari dalang yang merancang segala kejadian. Lantas, banyak negara-negara khususnya di Asia Barat telah dilabel dan disenaraihitam sebagai "paksi pengganas". Antara negara yang dimaksudkan ialah Afganistan, Iraq, Iran, dan Syria. Negara Iraq misalnya, hingga kini masih lagi berada dalam keadaan kucar-kacir dibawah pertadbiran boneka yang ditaja Amerika sendiri. Peristiwa asalnya Amerika menuduh Iraq menyimpan senjata pemusnah yang dikenal sebagai "mother of all boms" (MOAB). Justeru, Iraq digasak sehingga penduduk awam ramai yang terkorban. Amerika pula pandai mengalihkan tumpuan dunia apabila senjata pemusnah yang dihajati gagal ditemui. Bekas pemimpin Iraq pula yang menjadi alat untuk dipersalahkan. Kononnya Saddam Hussein perlu dihukum atas kesalahan pembunuhan dan melaksanakan pemerintahan kuku besi. Hujah ini menguatkan lagi semangat imperialisme barat ke atas negara teluk tersebut. Memandangkan sejarah peperanagan sebelum ini tidak berjaya (Perang Teluk), Presiden Bush bersungguh-sungguh untuk menghancurkan bumi Anbiya' itu untuk kesekian kalinya. Telaga minyak antara yang musnah teruk akibat peperangan oleh tentera Amerika dan tentera sekutunya dari Britain. Oleh yang demikian, peluang dan kesempatan diguna oleh banyak syarikat dari barat untuk menguasai pentadbiran minyak khususnya di Iraq. Barat cukup berminat dengan minyak di negara Teluk itu memandangkan negara tersebut antara pengeluar terbesar dunia. Akhirnya, antara kesan yang mencengkam dunia ialah pada awal tahun 20o8 apabila berlaku spekulasi terhadap harga minyak yang disebabkan oleh permintaan yang terlalu tinggi sehingga mengatasi penawaran. Impaknya, harga minyak dunia mencecah lebih US$ 200 setong menjelang pertengahan 2008. Keadaan ini memaksa banyak kerajaan di dunia mengatur strategi berkesan semata-mata bagi mengatasi kenaikan harga minyak di negara masing-masing. Situasi ekonomi yang tidak menentu memberi gambaran kepada penganalisis ekonomi bahawa pada tahun 20o8, "sejarah mungkin berulang". Bagi mengelakkan keadaan tersebut, syarikat-syarikat di negara barat semakin ranjak menjalankan kegiatan untuk mengaut keuntungan berlipat ganda sehingga menindas pihak lain. Misalnya, pelaburan langsung asing seolah-olah dipromosikan keseluruh dunia termasuklah di Malaysia. Imbangan perdagangan yang tidak telus dan adil menjadi agenda tersirat seakan "memenggal" negara-negara yang "belum cukup umur" dalam menguruskan perlaksanaanya.
Namun, putaran ekonomi tidak dapat dikekang lagi. Bukti ini diperjelas dengan kelembapan ekonomi Amerika Syarikat pada suku akhir pada tahun 2o08. Demi memaksimumkan pulangan yang diidam-idamkan, bank-bank di Amerika Syarikat seperti "bernafsu" untuk membiayai mereka yang ingin membuat pinjaman terutamanya pembeli-pembeli rumah. Walaupun tidak mempunyai kelayakan untuk membuat pinjaman, walaupun peminjam jelas termasuk dalam kelompok syarat mereka yang sukar membuat pembayan pinjaman dengan baik, bank-bank ini terus leka bersenang hati membiayai kredit pelanggan-pelangganya. Disebabkan permasalahan ini, banyak syarikat gergasi telah lumpuh antaranya Lehman Brothers, Merrill Lynch dan syarikat insurans iaitu American International Group (AIG). Faktor ini jugalah yang menjadi antara penyumbang kekalahan Senator McCain dalam kempen menetang bakal Presiden US iaitu Barack Obama. Apa tidaknya; dalam debat terbuka beliau masih boleh lagi menyatakan bahawa fundamental ekonomi negara Amerika masih berada pada tahap kukuh. Walhal, keruntuhan syarikat-syarikat gergasilah yang akan memberi bebanan kepada asas ekonomi itu sendiri seperti masalah kualiti modal insan, keyakian para pelabur dan sebagainya.
Pakar-pakar ekonomi tampil dengan pelbagai cadangan untuk memulihkan keadaan ini. Ada yang mencadangkan agar menubuhkan satu lembaga berkaitan bagi mengkaji kaedah penyelesaian tersebut. Tidak kurang juga yang menegaskan supaya dianjur satu pakej ransangan ekonomi yang dikenali sebagai "pakej penyelamat" dengan memberi suntikan modal kepada syarikat-syarikat yang semakin tenat. Semua "kisah duka" ini sebenarnya terjemahan kepada seantero dunia bahawa sistem kapitalisme yang diamalkan tidak mampu memberi kepentingan dan keadilan kepada semua pihak. Dalam dunia masih tercari-cari apakah kaedah penyelesaian terbaek buat masa ini, "tema" kempen senator Obama iaitu "kita perlukan perubahan" telah tiba untuk dihayati bersama. Sistem Kewangan Islam dan Penggunaan Emas sebagai matawang utama dunia. Mesej ini pernah disuarakan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Malah gagasan ini juga telah disampaikan kepada ASEAN mahupun pertubuhan OIC. Namun , idea ini dipandang enteng oleh negara-negara khususnya Asia Barat yang kononya telah banyak "terhutang budi" dengan Amerika Syarikat. Sistem kewangan Islam dikatakan yang terbaik dalam mendepani krisis ekonomi global kini kerana ciri-ciri pengurusannya. Sistem kewangan Islam tidak menggalakkan transaksi yang melibatkan satu bentuk "penindasan" atau ketidak adilan kepada pihak lain. Justeru, amalan seperti riba, maisir, gharar, dan sebagainya dilarang sama sekali. Penggunaan Emas dalam urusan perdagangan antara negara-negara juga mampu mengatasi krisis yang sedang menghimpit. Hal ini kerana nilai Emas adalah stabil dan tidak berubah-ubah. Nialinya sentiasa berada pada tahap yang kukuh. Ini mampu menjamin segmen perdagangan akan terus berlaku walau dalam keadaan mana sekali pun.
Akhirnya, kita perlu merancang plan strategik yang efektif untuk mengatasi masalah kewangan dunia yang melanda sekiranya mahukan kestabilan yang dijangka menjelang 2010 nanti akan terlaksana lebih awal. Pertubuhan negara-negara Islam (OIC) misalnya mestilah saling mempercayai dan berpadu untuk membincangkan kaedha penyelesaian yang terbaik khususnya seluruh rakyat yang beragama Islam. Sudahlah negara-negara tersebut kebanyakannya terdiri daripada negara dunia ketiga. Usahlah barat disanjung kerana kecanggihan teknologi yang lantas membuatkan kita terpukau dengan kekuatan mereka. Semua itu akan melenakan keberanian kita sendiri. Tepuk dada tanya selera.
Fikir-fikirkan..
____________________________________________________________________

Tiada ulasan: