.

Isnin, 30 November 2009

TAQWIM PERSEKOLAHAN TAHUN 2010

Taqwim Persekolahan Tahun 2010



Kumpulan A
Penggal Cuti dan Hari Persekolahan Mula Akhir Hari
I Hari Persekolahan 03.01.2010 31.01.2010 21
Hari Persekolahan 01.02.2010 28.02.2010 20
Hari Persekolahan 01.03.2010 11.03.2010 9
Cuti Pertengahan Penggal 12.03.2010 20.03.2010 9
Hari Persekolahan 21.03.2010 31.03.2010 9
Hari Persekolahan 01.04.2010 29.04.2010 21
Hari Persekolahan 02.05.2010 31.05.2010 22
Hari Persekolahan 01.06.2010 03.06.2010 3
Cuti Pertengahan Tahun 04.06.2010 19.06.2010 16
II Hari Persekolahan 20.06.2010 30.06.2010 9
Hari Persekolahan 01.07.2010 29.07.2010 21
Hari Persekolahan 01.08.2010 31.08.2010 23
Hari Persekolahan 01.09.2010 02.09.2010 2
Cuti Pertengahan Tahun 03.09.2010 11.09.2010 9
Hari Persekolahan 12.09.2010 30.09.2010 15
Hari Persekolahan 03.10.2010 31.10.2010 21
Hari Persekolahan 01.11.2010 18.11.2010 14
Cuti Akhir Tahun 19.11.2010 01.01.2011 44
Jumlah 288
Jumlah Hari Persekolahan Termasuk Cuti Am 210
Jumlah Hari Cuti Penggal 78

Kumpulan B
Penggal Cuti dan Hari Persekolahan Mula Akhir Hari
I Hari Persekolahan 04.01.2010 29.01.2010 20
Hari Persekolahan 01.02.2010 26.02.2010 20
Hari Persekolahan 01.03.2010 12.03.2010 10
Cuti Pertengahan Penggal 13.03.2010 21.03.2010 9
Hari Persekolahan 22.03.2010 31.03.2010 8
Hari Persekolahan 01.04.2010 30.04.2010 22
Hari Persekolahan 03.05.2010 31.05.2010 21
Hari Persekolahan 01.06.2010 04.06.2010 4
II
Cuti Pertengahan Tahun 05.06.2010 20.06.2010 16
Hari Persekolahan 21.06.2010 30.06.2010 8
Hari Persekolahan 01.07.2010 30.07.2010 22
Hari Persekolahan 02.08.2010 31.08.2010 22
Hari Persekolahan 01.09.2010 03.09.2010 3
Cuti Pertengahan Penggal 04.09.2010 12.09.2010 9
Hari Persekolahan 13.09.2010 30.09.2010 14
Hari Persekolahan 01.10.2010 29.10.2010 21
Hari Persekolahan 01.11.2010 19.11.2010 15
Cuti Akhir Tahun 20.11.2010 02.01.2011 44
Jumlah 288
Jumlah Hari Persekolahan Termasuk Cuti Am 210
Jumlah Hari Cuti Penggal 78
Kumpulan A Kumpulan B
  • Kedah
  • Kelantan
  • Terengganu
  • Perlis
  • Pulau Pinang
  • Perak
  • Selangor
  • Negeri Sembilan
  • Melaka
  • Johor
  • Pahang
  • Sabah
  • Sarawak
  • Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
  • Wilayah Persekutuan Labuan
  • Wilayah Persekutuan Putrajaya


Utusan Malaysia bertarikh 17 November 2009 – KENAPA TIADA PENGAMBILAN CALON KPLI SESI 2010



Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Surat Pembaca dalam ruangan Surat Kepada Pengarang dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 17 November 2009 – KENAPA TIADA PENGAMBILAN CALON KPLI SESI 2010 OLEH CIK ZIEZIE, PORT DICKSON, NEGERI SEMBILAN.
Untuk makluman penulis, Iklan KPLI tidak diiklankan kerana masih ramai calon/pemohon Ambilan Khas Jun 2009 yang berkelayakan yang masih belum ditawarkan kursus. Bahagian Pendidikan Guru (BPG), KPM juga telah mendapat kebenaran daripada Menteri Pelajaran Malaysia untuk tidak mengiklankan pengambilan KPLI. Keputusan ini juga selaras usaha kerajaan melaksanakan langkah berhemah dalam penggunaan belanja mengurus.
Calon KPLI Ambilan Januari 2010 diproses dari calon simpanan sejumlah hampir 40 ribu orang yang telah Lulus Ujian Saringan tetapi tidak dapat ditawarkan pada Ambilan Jun 2009 kerana unjuran keperluan guru bagi Ambilan Januari 2010 hanya seramai 1,555 calon sahaja.
Relevannya BPG, KPM mengambil calon simpanan adalah kerana kesemua calon simpanan terdiri daripada calon yang telah Lulus Ujian MTeST dan calon yang telah menjalani temuduga. Disebabkan unjuran/keperluan jawatan yang sedikit sebelum ini mereka tidak dapat ditempatkan/ditawarkan KPLI.
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
26 NOVEMBER 2009

(Laman KPM)

LAPORAN KHAS: SEMPENA ULANG TAHUN KE-20 PERJANJIAN DAMAI KERAJAAN MALAYSIA DAN PKM (BHGN PERTAMA)

Oleh ROZAID A. RAHMAN

(Menjelang Rabu ini, genaplah 20 tahun Parti Komunis Malaya (PKM) menamatkan perjuangan bersenjata mereka ke atas Kerajaan Malaysia apabila mereka menandatangani Perjanjian Damai yang bersejarah pada 2 Disember 1989 di Hadyai Thailand. Pengarang Bersekutu mStar, ROZAID A. RAHMAN yang ketika itu berkhidmat sebagai wartawan di Utusan Malaysia adalah sebahagian daripada mereka yang berpeluang menyaksikan peristiwa bersejarah itu. Beliau mengimbau kembali setiap detik menuju ke jalan damai itu bersama kita dalam siri Laporan Khas ini.)


Pegawai tentera British John Davis (dua dari kiri) mengiringi Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya, Chin Peng (kiri), bersama Chin Tian dan Rashid Maidin. Mereka berjalan menuju ke sebuah bangunan sekolah di Baling pada tahun 1955 untuk berunding dengan Tunku Abdul Rahman dan Ketua Menteri Singapura David Marshall. - Foto Ehsan UTUSAN MALAYSIA

HARI SAYA BERTEMU CHIN PENG & RASHID MAIDIN...

MALAM 30 NOVEMBER 1989 adalah malam yang tidak dapat dilupakan oleh para wartawan Malaysia yang dihantar ke Hadyai untuk membuat liputan Majlis Menandatangani Perjanjian Damai di antara Kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya (PKM).

Malam itu, buat pertama kalinya dalam tempoh 34 tahun iaitu sejak 29 Disember 1955, manusia yang paling digeruni di tanahair, Chin Peng @ Ong Boon Hua muncul di khalayak ramai.

Setiausaha Agung PKM itu kelihatan gemuk dan sihat dengan wajah yang putih kemerah-merahan - tidak sama sekali mengambarkan yang beliau menjalani kehidupan sebagai seorang gerila di dalam hutan.

Tiada siapa yang tahu bagaimana Chin Peng yang pada mulanya memberikan pra syarat yang beliau hanya akan hadir pada majlis perdamaian itu (yang dijadualkan pada 2 Disember) jika beliau tidak ditemubual oleh media tiba-tiba mengubah fikiran dan memanggil satu sidang akhbar di sebuah kem tentera di Hadyai.

Malah Chin Peng dikatakan tidak mahu pihak media menyaksikan upacara perjanjian damai itu dan beliau juga tidak mahu gambarnya diambil semasa beliau menurunkan tandatangannya di atas kertas perjanjian damai.

Nampaknya beliau sudah berubah fikiran dengan memberikan sidang akhbar lebih awal iaitu sehari sebelum berlangsungnya perjanjian damai.

Sebaik sahaja bertemu dengan wartawan, perkataan pertama yang disebut Chin Peng ialah, “Sudah lama saya menanti saat ini...”

Chin Peng yang berpakaian kemas seperti seorang ahli perniagaan juga kelihatan riang tetapi ada sedikit reservation setiap kali ditanya soalan berkaitan masa depannya dan rancangannya selepas selesai perjanjian damai dengan Kerajaan Malaysia.

Bagaimanapun beliau berkata; Saya belum membuat keputusan sama ada hendak pulang ke Malaysia...”

(Hakikatnya ialah 20 tahun selepas itu, beliau masih tidak dapat menjejakkan kakinya di Malaysia).

Dalam sidang akhbar ringkas itu yang diadakan pada jam 8 malam, Chin Peng bertutur dalam bahasa Melayu, Mandarin, Inggeris dan bahasa Thai tentang perjuangannya dalam PKM di masa silam dan betapa dia memerlukan masa untuk memikirkan apa yang hendak dibuatnya selepas itu.

“Walaupun kami akan membubarkan tentera kami (PKM) kami tidak akan sekali-kali membubarkan Parti Komunis Malaya,” katanya.

Chin Peng juga tidak ketinggalan memberi pengiktirafan kepada daya usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Thailand sehingga termeterainya perjanjian damai ini.

Sedang Chin Peng menunggu tibanya jam 10.30 pagi, 2 Disember 1989 di mana akan berlangsungnya majlis bersejarah itu, iaitu perjanjian damai yang dinanti-nantikan oleh seluruh dunia, pesawat yang membawa para perwakilan Malaysia yang terdiri daripada Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Sidek Wan Abdul Rahman dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Haniff Omar telah mendarat di Hadyai.

Seorang lagi perwakilan Malaysia, Panglima Angkatan Tentera Diraja Malaysia, Tan Sri Hashim Mohd Ali telah tiba lebih awal di Hadyai.

Para wartawan yang berjumlah hampir 200 orang, siang-siang lagi telah berkampung di bandar Selatan Thai ini. Semua hotel besar di Hadyai bukan sahaja dipenuhi oleh para wartawan dan jurugambar tetapi juga anggota-anggota keselamatan, polis, askar, pegawai tinggi kerajaan daripada kedua-dua buah negara iaitu Malaysia dan Thailand, anggota-anggota Majlis Keselamatan Negara apatah lagi pegawai-pegawai dari Cawangan Khas (Special Branch).

Dan sungguhpun kehadiran para pemimpin utama PKM ini cuba dirahsiakan, tetapi penduduk tempatan seperti menyedari bahawa Chin Peng dan Rashid Maidin, pemimpin Regimen Ke-10 PKM sudah berada di pekan ini.

Seorang pemandu teksi mendakwa dia tahu di mana Chin Peng tinggal malah sedia memberikan nombor bilik penginapan sekiranya mendapat ‘bayaran’ yang betul.

Perjanjian bersejarah yang akan ditandatangi oleh Chin Peng dan wakil-wakil Kerajaan Malaysia dan Thailand itu akan berlangsung di sebuah ballroom bernama Siam Conference Room di Hotel Lee Garden. Dan sebaik sahaja selesainya proses perdamaian itu, nama ballroom tersebut akan ditukar kepada The Peace Hall.

****

Hampir tengah malam 1 Disember 1989, tidak sampai pun 24 jam lagi sebelum termeterainya perjanjian damai antara Malaysia dan PKM, tiba-tiba Rashid Maidin, Komander Regimen ke-10 PKM dan Pengerusi PKM, Abdullah CD dan Ah Sek, Komander Regimen Ke-12 PKM muncul di coffee house JB Hotel Hadyai di hadapan wartawan-wartawan Utusan yang terdiri daripada Ketua Pengarangnya, Zainuddin Maidin dan Pengarang Berita, Khalid Mohd dan saya sendiri serta V.K Chin dari akhbar The Star yang secara kebetulan berada di tempat yang sama. (Zainuddin Maidin, kini Tan Sri kemudiannya menjadi Menteri Penerangan Malaysia dan Khalid Mohd., sekarang Datuk, kemudiannya menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Utusan dan kini berkhidmat di sebuah Yayasan di Petronas).

Bagaimanapun kehadiran tiga orang utama PKM itu serta isteri Abdullah dan Ah Sek tidak disedari langsung oleh pengunjung-pengunjung yang lain. Mereka tidak diperdulikan sehinggalah ‘diganggu’ oleh wartawan Utusan yang memberanikan diri bangun lalu berjalan menuju ke arah Rashid dan Abdullah sambil memperkenalkan dirinya.

Cara Rashid, Abdullah dan Ah Sek ‘menyusup’ masuk di celah-celah orang-ramai tanpa menarik perhatian umum sangatlah mengkagumkan. Ia umpama satu seni yang telah mereka pelajari dan adaptasikan dengan cemerlang sekali di sepanjang penyamaran mereka di dalam hutan.

Sepertimana Chin Peng pada malam sebelumnya, ini juga adalah kemunculan pertama Rashid dan Abdullah secara terang-terangan di hadapan khalayak ramai - setidak-tidaknya itulah yang telah disaksikan oleh wartawan-wartawan Utusan dan The Star pada malam itu.

Dan malang sungguh bagi Rashid, Abdullah dan Ah Sek kerana kehadiran mereka untuk bersantai di coffee house itu akhirnya telah terganggu oleh kedatangan wartawan ini.

Rashid yang memesan secawan kopi sambil menghisap paip kelihatan tidak senang apabila kehadiran mereka telah dikesan wartawan. Malah tidak lama selepas itu beliau telah berkali-kali meminta rakan-rakannya yang lain supaya segera menghabiskan minuman masing-masing bagi membolehkan mereka beredar dari situ.

Berpeluang buat pertama kalinya untuk menatap wajah Rashid dari dekat, tidak dapat dinafikan, walaupun berusia 73 tahun ketika itu, Rashid bukan sahaja kelihatan sihat tetapi tegap dan gagah seperti seorang yang bersedia untuk ke medan perang. Beliau sentiasa kelihatan serius sepanjang berada di coffee house itu.

Walaupun beberapa kali diajak berbual, Rashid memperlihatkan gerak badan yang keras dan kekok. Rashid berulang kali berkata, beliau tidak berhasrat untuk bercakap dengan seorang wartawan.

Yang lebih mengejutkan ialah Rashid langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi apabila wartawan Utusan memberitahu bahawa pihak media telah menemui keluarganya di Perak.

Bagaimanapun di sebalik keseriusan wajahnya itu, Rashid akhirnya ketawa kecil apabila diberitahu betapa pihak media begitu mengidam untuk merakamkan wajahnya yang terbaru.

(BERSAMBUNG BAHAGIAN KEDUA)

(MSTAR)



Jumaat, 27 November 2009

15 BOMBA TERTIPU AKIBAT KENTUT KHINZIR




SYDNEY - Seorang penternak membuat panggilan kecemasan bomba setelah terbau 'gas bocor' namun sangkaannya meleset setelah diberitahu ia adalah bau kentut khinzir peliharaannya, kata para pegawai semalam.

Seramai 15 anggota dan dua jentera bomba dikerah ke ladang yang terletak di Axedale, Victoria, kata Perkhidmatan Bomba Negeri Victoria tersebut.

"Kami menjumpai seekor babi betina bersaiz besar dengan anggaran berat 120 kilogram. Kami percaya gas bocor itu datang daripada babi tersebut.

"Walaupun tidak terhidu gas tersebut kami dapat mendengar bunyi kentut keluar dengan jelas, lucu sungguh," kata Kapten Peter Harkins.

Tambahnya, pemilik babi tersebut kelihatan malu manakala petugas bomba mengambil masa untuk menenangkan diri.

"Kami menangani kes itu dengan profesional tetapi kami ketawa terbahak-bahak sebaik tiba di balai," kata Harkins.

(AFP - dipetik dari akbar Kosmo! online)



Khamis, 26 November 2009

PANDUAN SOLAT SUNAT AIDILADHA

Solat sunat Aidil Adha hukumnya sunat muakkad (sunat yang dituntut)

Panduan ringkas:

(1) Takbiratul ihram /Niat solat:

Lafaz niat. "Sahaja aku solat sunat Aidil Adha dua rakaat kerana Allah Taala" (untuk solat seorang diri).

"Sahaja aku solat sunat Aidil adha dua rakaat makmum kerana Allah Taala" (jika ikut imam).

"Sahaja aku solat sunat Aidil Adha dua rakaat jadi imam kerana Allah Taala" (jika jadi imam).

Niat ini hendaklah dilakukan semasa takbiratul ihram iaitu sekadar lintasan di hati lafaz tersebut. Untuk memudahkan niat , sebelum takbitratul ihram kita hendaklah membuat lintasan terlebih dahulu di dalam hati akan lafaz niat itu.

(2) Membaca doa iftitah.

(3) Kemudian takbir 7 kali yang diselangselikan dengan tasbih sebanyak 6 kali.


(4) Membaca fatihah dan surah al-Akla.

(5) Rukuk dan sujud seperti biasa.

(6) Iktidal dan berdiri betul (rakaat kedua) takbir 5 kali yang diselangselikan dengan tasbih 4 kali.

(7) Membaca fatihah dan surah al-Ghasyiyah.

(8) Rukuk, sujud dan membaca tahiyat akhir seperti biasa.

(9) Memberi salam.

(10) Disunatkan takbir dan doa,

(11) Membaca dua Khutbah. (sekiranya bersolat secara berjamaah)


Peringatan:

(a) Kalau imam telah berhenti takbir/bertasbih makmum hendaklah berhenti, begitu juga kalau imam terlebih takbir, makmum tidak perlu ikut sebaliknya menunggu.

(b)Takbir Hari Raya Aidil Adha disunatkan mulai malam hari raya (10hb. Zulhijjah) sehinggalah selepas solat Asar (13hb. Zulhijjah).

(c) Bacaan surah al.Akla dan al.Ghasyiyah boleh diganti dengan surah lain, sekiranya tidak menghafaz ayat tersebut. (tidak boleh buat semua, jangan tinggal semua )

(d) Orang yang terpaksa bertugas pada hari raya , disyorkan melaksanakan ibadat ini secara bersendirian, jangan biarkan ia berlalu begitu sahaja kerana ibadat ini hanya dapat dilakukan setahun dua kali sahaja. (Aidil Fitri dan Aidil Adha)

http://www.leewantam.com

Rabu, 25 November 2009

PERBANKAN ISLAM DAN PRESTASINYA KINI

Oleh WAN JEMIZAN WAN DERAMAN

Perbankan Islam ialah perbankan yang berlandaskan undang-undang Islam (syariah), iaitu fiqh muamalat (peraturan Islam dalam transaksi). Kesemua peraturan dan amalan di dalam fiqh muamalat berasal dari al-Quran dan al-Sunnah dan sumber undang-undang Islam sekunder yang lain.

Antaranya seperti kesepakatan pendapat oleh ulama mujtahid tentang sesuatu hukum syariah (ijmak), menyamakan perkara baru yang tiada nas secara analogi (qias) dan hasil usaha daripada para mujtahid dalam merumuskan sesuatu hukum dan nilai melalui kaedah istinbat (ijtihad). (http://www.bankinginfo.com.my)

Usaha awal penubuhan perbankan Islam di Malaysia bermula seawal penubuhan Tabung Haji pada November 1962 yang telah memulakan operasinya pada 30 September 1963.

Kejayaan Tabung Haji mendorong pelbagai pihak untuk mengemukakan cadangan kepada kerajaan agar menubuhkan sebuah bank Islam sepenuhnya. Gerakan ini adalah hasil pelbagai perbincangan dan kajian demi kajian yang akhirnya menghasilkan rumusan bahawa wujudnya keperluan menubuhkan sistem perbankan yang berteraskan syariah.

Gelombang ini turut dicetuskan di peringkat antarabangsa di mana usul untuk menubuhkan bank Islam di negara-negara Islam telah dibincang dalam Mesyuarat Kedua Menteri-Menteri Luar Negara Islam dalam tahun 1971. (www.bankislam.com.my)

Hasilnya, Kabinet meluluskan penubuhan bank Islam yang pertama pada tahun 1983 yang dikenali sebagai Bank Islam Malaysia Berhad yang dikawalselia di bawah Akta Perbankan Islam 1983.

Setelah lebih kurang 10 tahun bank Islam pertama beroperasi, industri perbankan Islam melakar satu lagi sejarah di mana pada tahun 1993 diwujudkan Skim Perbankan Tanpa Faedah (SPTF).

Melalui skim ini, institusi perbankan konvensional dibenar menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan Islam menggunakan prasarana yang sedia ada termasuk kakitangan dan cawangan. (Bank Negara Malaysia (BNM) dan Sistem Kewangan di Malaysia Perubahan Sedekad 1989-1999).

Walau bagaimanapun, berkuatkuasa 1 Disember 1998, SPTF ditukar kepada Skim Perbankan Islam (SPI) kerana penggunaan istilah SPTF tidak mencerminkan penampilan sebenar operasi perbankan Islam yang dilaksanakan oleh institusi perbankan.

Sistem kewangan dan perbankan Islam di Malaysia telah menunjukkan perkembangan dan peningkatan yang memberangsangkan. Sebelum 1993, Malaysia hanya mempunyai sebuah bank Islam dengan 36 cawangan yang terhad.

Namun selepas kerajaan memperkenalkan SPTF pada 1993, perbankan Islam boleh diperoleh dihampir 2,500 cawangan bank Islam, bank perdagangan, bank saudagar dan syarikat kewangan.

Alhamdulillah, industri perbankan Islam kini diperkukuhkan lagi apabila institusi perbankan konvensional yang menawarkan SPI diberi pilihan untuk mengubah operasi SPI mereka kepada sebuah bank Islam sepenuhnya.

Bagi menyemarakkan lagi perkembangan industri perbankan Islam ini pihak kerajaan juga menawarkan lesen perbankan Islam kepada bank-bank asing.

Pada tahun 2008, pendapatan yang dijana oleh industri perbankan Islam mencatatkan pencapaian yang sangat memberangsangkan. Ia memperoleh pendapatan kasar melebihi RM9 bilion dan kini aset perbankan Islam telah menghampiri RM300 bilion.

Bagi menjamin pematuhan syariah, semua bank Islam perlu menubuhkan Jawatankuasa Syariah bagi membimbing mengenai hal-hal Syariah dan memastikan bahawa fungsi bank tersebut adalah mematuhi kehendak syariah.

Selain itu, Majlis Penasihat Syariah iaitu badan syariah tertinggi yang ditubuhkan di BNM diwujudkan bagi memastikan keseragaman dalam pendapat dan amalan.

prinsip syariah

Perbankan Islam adalah perbankan yang menawarkan produk-produk kewangan yang berteraskan prinsip-prinsip syariah. Konsep dan mekanisme operasi telah berubah daripada konsep pinjam meminjam yang menjadi teras sistem perbankan konvensional kepada konsep jual beli, perkongsian, kerjasama dan sebagainya.

Di antara konsep-konsep syariah dalam perbankan Islam yang diaplikasi dalam pelbagai produk perbankan Islam ialah Wadiah (Simpanan) yang digunakan dalam produk-produk berasaskan deposit, Mudarabah (Perkongsian keuntungan) yang digunakan dalam produk-produk berasaskan pelaburan, Bai' Bithaman Ajil - BBA (Penjualan dengan harga tertangguh) yang diaplikasikan dalam pelbagai produk pembiayaan.

Murabahah seperti mana BBA, Musyarakah (Usaha sama) yang diaplikasikan dalam produk pembiayaan usaha sama, Ijarah Thumma Bai' (Sewa Beli) yang lazimnya digunakan dalam membiayai barangan pengguna terutama- nya pembiayaan kenderaan dan sebagainya.

Bermula dengan satu bank dengan produk yang terhad dan ringkas, kini Perbankan Islam telah mampu memenuhi keperluan semasa umat. Ia kini bukan lagi satu alternatif tetapi satu kewajipan terutamanya ke atas umat Islam untuk menyokong produk-produk perbankan Islam.

Ini kerana perbankan Islam dari sudut produk telah berupaya menawarkan lebih 40 jenis produk yang berdaya saing dan kreatif yang merangkumi produk-produk berkaitan deposit seperti akaun simpanan, akaun semasa, akaun pelaburan dan sebagainya, pembiayaan perumahan, pembiayaan kenderaan, pembiayaan peribadi, sewaan dan sebagainya mahupun pelaburan seperti Deposit Murabahah Berstruktur.

Sistem Perbankan secara Islam berbeza dengan Sistem Perbankan Konvensional dan ia boleh dilihat kepada konsep dan operasinya. Perbezaan utama di antara perbankan Islam dan perbankan konvensional ialah perbankan Islam mesti berlandaskan syariah.

Perbankan Islam juga mesti mengelakkan aktivitinya daripada unsur-unsur yang diharamkan seperti riba, gharar (ketidakpastian yang berlebihan), perjudian dan penipuan. Manakala sistem konvensional muamalatnya dijalankan secara riba dan tidak mengambil kira unsur-unsur keadilan dalam transaksinya.

Mengumpul keuntungan

Dari sudut objektif, perbankan konvensional menerusi pelbagai aktivitinya adalah mengumpul keuntungan peribadi ataupun kumpulan tertentu seperti pihak pemegang saham. Usaha digembleng hanya bertujuan untuk memaksimumkan keuntungan tanpa mengambil kira kesan dan akibat kepada umat.

Hal ini berbeza dengan sistem Perbankan Islam di mana dari sudut teorinya adalah untuk menjamin kemaslahatan dan kesejahteraan umat khususnya dalam perkara yang berkaitan sosioekonomi umat Islam.

Ini dapat dilihat apabila perbankan Islam tidak mengamalkan riba yang memang jelas menindas dan menzalimi terutamanya golongan yang lemah.

Dosa riba ini telah disepakati oleh seluruh ulama akan pengharamannya dan ia termasuk dalam kategori dosa besar. Malah riba diharamkan oleh semua agama. Allah melaknat mereka yang melibatkan diri dengan riba.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Rasulullah SAW. melaknat pemakan riba, pemberinya, dua orang saksinya dan juru tulisnya." (riwayat Ahmad, Abu Daud, Tirmizi, An Nasa'i dan Ibn Majah)

Riba adalah salah satu dosa besar. Ia berdasarkan hadis nabi SAW maksudnya: "Jauhilah tujuh dosa besar, syirik, sihir, membunuh tanpa hak, makan harta anak yatim, makan riba, lari dari medan peperangan (kerana takut) dan menuduh perempuan yang suci dengan zina (tanpa saksi adil)." (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Terlibat dengan riba menjadi sebab mendapat kemurkaan Allah SWT. Pemakan dan pemberi riba sebenarnya mereka memerangi Allah SWT dan Rasul-Nya sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah SWT dan tinggalkanlah saki baki riba sekiranya kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidak meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya. (al-Baqarah: 278).

Begitu juga jika dilihat dari sudut hubungan di antara pelanggan dengan pihak bank. Bank konvensional hanya terhad kepada hubungan antara pemiutang dan peminjam sahaja. Tetapi di dalam perbankan Islam, hubungan lebih kepada kebersamaan di mana sebagai contoh di bawah konsep Musyarakah, pihak bank dan pelanggan adalah rakan kongsi untuk melaksanakan satu-satu projek dan sebagainya.

Ini selaras dengan falsafah di sebalik pinjaman dalam Islam iaitu untuk memenuhi keperluan seseorang yang dalam kesusahan, memupuk semangat tolong menolong dan untuk menyuburkan kasih sayang di antara satu sama lain.

Dengan mengenakan caj tambahan yang kadang-kadang berkali ganda seperti yang dilakukan oleh perbankan konvensional melenyapkan nilai-nilai mulia ini malah dengan amalan riba ini telah menyuburkan sikap mengeksploitasi dan menindas golongan yang sedang dalam kesusahan.

Akhirnya lahirlah manusia yang tamak, mementingkan kepentingan sendiri dan menjadi hamba kepada harta.

Biar pun telah wujud sistem kewangan yang berasaskan prinsip Islam, namun, masih ada di kalangan umat Islam hari ini yang masih terlibat dengan perbankan konvensional. Mereka mencipta 1,001 alasan untuk mengelak terlibat dengan Sistem Kewangan Islam seperti produk-produk yang ditawarkan oleh Perbankan Islam mahal harganya jika dibandingkan dengan produk-produk syarikat konvensional.

Sebagai Muslim yang beriman, sudah pasti kita ingin memastikan apa yang dilakukan seharian selari dengan kehendak dan prinsip-prinsip Islam.

Namun, adakah kita sedar, dengan melibatkan diri dengan perbankan konvensional, kita mendedahkan diri kita dengan dosa riba di mana Allah dan Rasul-Nya telah mengisytiharkan perang ke atas orang-orang yang terlibat dengan riba tidak kiralah sama ada pemberi, penerima, penulis perjanjian berkaitan riba dan sebagainya.

Adakah kita masih ingin melibatkan diri dengan dosa besar tersebut sedangkan sudah ada pilihan.

Mengajak manusia melaksanakan ekonomi Islam dan beramal dengannya merupakan suatu ibadah yang pasti mendapat ganjaran baiknya di sisi Allah SWT. Persoalannya, adakah kita benar-benar ingin melaksanakannya atau mengharap orang lain melunaskan 'tugasan' tersebut bagi pihak kita.

(UTUSAN)

BAWA KAMUS DALAM PEPERIKSAAN

Oleh HAZIMY HASSAN

Langkah kerajaan untuk membubarkan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) adalah tepat. Namun, dalam kita hendak berbalik semula kepada dasar asal sebelum PPSMI, kita juga tidak mahu pencapaian anak Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris menjadi merosot.

Perkara utama yang perlu ditekankan ialah cara bagaimana untuk menjadikan anak Malaysia lebih minat dan cenderung untuk menguasai bahasa Inggeris melangkaui sempadan peperiksaan semata-mata. Jika umat Islam diseru untuk menjadikan Kitab Al-Quran dan Kitab Al-Hadis sebagai pegangan hidup beragama, maka sebagai pelajar pula, amat wajar menjadikan kamus sebagai rakan akrab dalam kelas mahupun luar kelas.

Jelas, menjadikan budaya membaca kamus sebagai aktiviti sampingan mampu memberi nilai tambah ke arah menguasai bahasa Inggeris.

Amalan tradisi dalam sistem peperiksaan awam mahupun peperiksaan dalaman tidak membenarkan kamus dibawa masuk untuk mata pelajaran bahasa. Amalan ini telah berakar umbi dan tiada pun kajian dibuat untuk dinilai semula apakah cara ini mampu menggalakkan untuk anak bangsa kita pandai bahasa Inggeris? Sistem pendidikan kita terlampau berorientasikan sistem menghafal dan sistem peperiksaan.

Untuk mensasarkan supaya anak bangsa kita pandai dalam bahasa Inggeris, perubahan dasar dan sistem dalam bidang pendidikan adalah amat perlu. Sememangnya anak bangsa kita tidak tahu dan hafal makna semua perkataan bahasa Inggeris. Di sinilah timbulnya keperluan untuk menjadikan kamus dwi bahasa Inggeris-Bahasa Melayu sebagai satu elemen penting untuk anak bangsa kita menguasai bahasa Inggeris.

Pertamanya, proses P&P di sekolah sendiri mesti menggalakkan pelajar untuk membawa kamus dwi bahasa setiap hari di sekolah. Selain daripada dapat membantu pelajar untuk merujuk apakah makna sebarang perkataan Inggeris dalam bahasa ibunda, langkah ini juga dapat mengelakkan pelajar daripada terlalu bergantung kepada guru untuk mengetahui apakah makna sesuatu perkataan Inggeris.

Memang telah ada kamus elektronik dwibahasa yang tersedia dijual di pasaran, namun hanya minoriti kecil sahaja pelajar yang mampu membelinya. Sebahagian besar majoriti pelajar tidak mampu untuk membelinya. Itulah sebabnya penggunaan kamus dwibahasa menjadi lebih praktikal.

Setelah proses P&P yang melibatkan penggunaan kamus, maka adalah perlu juga untuk direvolusikan proses peperiksaan dengan dibenarkan membawa kamus dwibahasa dalam menjawab kertas Bahasa Inggeris. Maksudnya bagi subjek Bahasa Inggeris di peringkat UPSR, PMR mahupun SPM dan STPM, kamus dwibahasa dibenarkan dibawa masuk sebagai bahan bantu untuk menjawab soalan.

Konsep open book ini harus diperkenalkan sebagai salah satu cara untuk melonjakkan pencapaian pelajar dalam bahasa Inggeris kerana motivasi diri pelajar akan bertambah kerana beban untuk menghafal makna adalah terlalu berat.

Walaupun begitu, keizinan membawa kamus dwibahasa semasa ujian bulanan, peperiksaan pertengahan tahun dan peperiksaan akhir tahun bagi murid tahap satu sekolah rendah tidak wajar dibenarkan. Dicadangkan keizinan ini diberikan kepada murid Tahun Empat hingga Tahun Enam di sekolah rendah dan juga murid Tingkatan Satu hingga Tingkatan Enam Atas di sekolah menengah.

(UTUSAN)

GURU DOMINASI PENGAJARAN PUNCA PELAJAR KURANG KREATIF

Oleh ROSNIZA MOHD TAHA

Amalan pengajaran dan pembelajaran (P&P) memfokus guru antara punca pelajar dihasilkan sistem pendidikan negara ini kurang memiliki kemahiran berfikir dan kreativiti.

Pengerusi Lembaga Penasihat Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT), Tan Sri Dr Wan Zahid Mohd Noordin, berkata guru mendominasi proses pembelajaran dalam kelas dengan lebih banyak bercakap berbanding menggalakkan interaksi dua hala dengan pelajar.

Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Pelajaran, berkata pendekatan itu secara tidak langsung menghasilkan kesan tidak diingini, iaitu pelajar beranggapan guru mahu mereka mendengar saja terlebih dulu dan hanya boleh bertanya soalan apabila disuruh.

Beliau berkata, pembelajaran sehala yang menjadi amalan sistem pendidikan negara sekian lama itu perlu diubah dan bukan salah guru sepenuhnya kerana mereka diletakkan dalam keadaan itu.

Keghairahan mendapat pengiktirafan sekolah terbaik, katanya, juga membuatkan guru berlumba menghabiskan sukatan pelajaran supaya ulang kaji dan latih tubi dapat dilaksanakan bagi memastikan pelajar mencapai sasaran keputusan cemerlang.

Sambil menjelaskan isu kelemahan kemahiran berfikir di kalangan pelajar termasuk yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan sering diketengahkan tokoh pendidik dan wakil industri, beliau berkata:

“Malah keputusan Ujian Aptitud pertama diperkenalkan Kementerian Pelajaran bagi murid Tahun Enam ketika Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini menunjukkan hanya 5.7 peratus mempunyai kemahiran menyelesaikan masalah dan membuat keputusan, manakala 34.34 peratus mempunyai kemahiran berfikir, mengesahkan lagi perkara ini.

“Pendekatan guru memonopoli pembelajaran dalam kelas dengan mereka saja yang banyak bercakap, malah mengedarkan salinan nota disediakan seolah-olah menyempitkan gaya pemikiran pelajar.

“Lebih parah apabila soalan pelajar tidak diendahkan, sekali gus tidak menggalakkan pemupukan kemahiran berfikir di kalangan pelajar.”

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap utama bertajuk Learned Paralysis: The Unintended Consequences of the Classroom Process pada Persidangan Antarabangsa Pengajaran dan Pembelajaran Peringkat Pengajian Tinggi 2009 (ICTLHE09) di Kuala Lumpur, kelmarin.

Wan Zahid berkata, dalam memastikan pelajar meraih pencapaian cemerlang akademik, seharusnya pembangunan keseluruhan potensi mereka terutama kemahiran berfikir tidak dikorbankan.

Bagi memastikan perkara itu, katanya, peneraju kepemimpinan sesebuah institusi pendidikan termasuk guru besar dan naib canselor perlu memainkan peranan utama dengan mereka sendiri arif mengenai kaedah P&P berkesan.

Beliau turut memberi contoh kejayaan projek perintis dilaksana Kementerian Pelajaran pada pertengahan 1990-an dalam usaha menghasilkan perubahan dramatik pencapaian sebuah sekolah biasa hingga tersenarai antara sekolah terbaik peringkat kebangsaan.

Katanya, Sekolah Menengah Jalan Bayam, Kelantan pada masa itu hanyalah sekolah biasa, malah dilabel sebagai pusat longgokan pelajar dan guru bermasalah.

“Namun, dengan inisiatif dan kreativiti guru besarnya yang diberi autonomi penuh mentadbir dengan pendekatan tersendiri, sekolah itu berjaya menjadi antara terbaik selepas lima tahun program itu dijalankan.

“Antara pendekatan unik guru besar terbabit yang berjaya melonjak pencapaian sekolah adalah melaksanakan pembelajaran tanpa jadual kelas tetap.

“Selain itu, menggalakkan pelajar mendominasi proses pembelajaran dalam kelas, membabitkan mereka dalam proses penilaian guru serta menjadikan aktiviti kemasyarakatan dan sukan sebagai sebahagian program utama kokurikulum,” katanya.

(BERITA HARIAN)

LEPASAN SPM, STAM JADI GURU j-QAF

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran membuka ruang kepada lebih ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) mengikuti kursus Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi mengatasi masalah kekurangan guru Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF) di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata ini penting kerana sasaran awal kementerian untuk melahirkan lebih 32,000 guru j-QAF bagi memenuhi keperluan 6,314 sekolah rendah di seluruh negara, menjelang 2010.

Beliau berkata, kini hanya kira-kira 13,000 guru j-QAF sedang berkhidmat di 4,732 sekolah rendah di seluruh negara.

"Masalah kekurangan guru agama menjadi semakin serius apabila kita mula melaksanakan pembelajaran j-QAF pada peringkat sekolah menengah di seluruh negara, pada tahun depan.

"Biasanya guru j-QAF kita ambil adalah terdiri pemegang ijazah pertama daripada Universiti al-Azhar dan Jordan tetapi sekarang kita ada masalah kerana kekurangan guru agama yang semakin kritikal terutama di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Konvokesyen Berpusat Kursus Perguruan Lepasan Ijazah j-QAF Keempat; Kursus Lepasan Ijazah Kursus Dalam Cuti Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (KDC SBK) dan Kursus Diploma Perguruan Malaysia Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah (KDPM LPBS) di sini, semalam.

Mohd Puad berkata, Kementerian Pelajaran juga bercadang menambah bilangan IPG bagi melahirkan lebih ramai guru berkualiti, sekali gus dapat mengatasi masalah kekurangan tenaga pengajar terutama di kawasan pedalaman.

Pada masa sama, katanya, kementerian juga bercadang memperketatkan syarat kemasukan ke IPG bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar komited dan berminat saja dipilih untuk menceburi kerjaya dalam bidang perguruan.

"Kita juga mungkin menimbang untuk mewujudkan 'akujanji' iaitu apabila seseorang dipilih menjadi guru, maka dia perlu sanggup bertugas di pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak selama sekurang-kurangnya lima tahun," katanya.

Mohd Puad juga berkata, kementerian akan menubuhkan kelas khas di sekolah harian bagi membolehkan murid memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) menikmati suasana pembelajaran sama seperti di Sekolah Berasrama Penuh dan Maktab Rendah Sains Mara.

(BERITA HARIAN)

Selasa, 24 November 2009

USUL PERTANDINGAN DEBAT DIRAJA 2009



POLITIK


1. Pilihanraya Kecil Perlu Dimansuhkan.

2. UMNO Perlu Rakan Kongsi Baru.

3. Kerajaan perpaduan perlu diteruskan.

4. Pakatan Rakyat tidak lagi relevan

5. Isu Bai’ah: Sandiwara Politik.

6. Pindaan Perlembagaan UMNO Adalah Penawar.

7. Gaji Wakil Rakyat Wajar Dinaikkan.

8. Krisis MCA: Cerita Lama Pelakon Baru.

9. ISA Melindungi Keselamatan Rakyat Malaysia.

10. Ancaman Pengganas Hanya Propaganda Kuasa Besar Dunia.

11. Korea Utara Perlu Diberi Peluang.

12. Ahmadinejad Hang Jebat Dunia Islam

13. Obama mengecewakan misi keamanan dunia.

14. Tarian Pendet Hanya Alasan.

15. Palestin Perlu Beralah.

16. 1 Malaysia Simbol Politik.

17. Penjanjian Nuklear As-Iran Berat Sebelah.

18. Keselamatan Laluan Perdagangan: Kita Tidak Bersatu.

19. Wilayah Autonomi Penawar Krisis.

20. Hadiah Nobel Keamanan Dipolitikkan.


EKONOMI


1. Pengeluaran KWSP Untuk Menunaikan Haji Wajar.

2. Wakaf Alternatif Ekonomi Sejagat.

3. F1 1Malaysia satu pembaziran

4. Bajet 2010 membebankan rakyat

5. OIC perlu matawang sendiri

6. Pasar Raya Besar Lubuk Emas IKS.

7. Asean Perlu Menjadi Blok Ekonomi.

8. Liberalisasi ekonomi tidak liberal.

9. Sudah Tiba Masanya Sistem Bretton Wood Diganti.

10. FAO Perlu Transformasi.

11. Bioteknologi Menjana Ekonomi Negara.

12. Pembangunan Ekonomi Meruntuhkan Moral Masyarakat.


SOSIAL


1. Bola Sepak Malaysia: Hampas Bukan Teras.

2. Pembangunan Sukan Di Malaysia Tidak Mencukupi.

3. Masyarakat Malaysia Tidak Minat Sukan.

4. Malaysia Di Sukan Olimpik: Ibarat Pungguk Rindukan Bulan.

5. Atlet Malaysia Tidak Sedar Diuntung.

6. Mansuh PPSMI Bukan Jawapan Terbaik.

7. Pendidikan kita ketinggalan

8. Pertandingan Ratu Cantik satu Penghinaan

9. Universiti APEX Tidak Cukup Satu.

10. Biofuel: Iklim Nombor Satu, Makanan Nombor Dua.

11. Pendidikan Alam Sekitar Wajar Diajar Di Sekolah.

12. Drama Berunsur Tahyul Perlu Diharamkan.

13. Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Di Malaysia memuaskan

14. Afdlin Shauki: P.Ramlee Generasi Baru.

15. Rancangan Realiti: Kebajikan Plastik.

16. Bank Bayi Perlu Diwujudkan.

17. Demi Kesihatan Sudah Tiba Masanya Rokok Diharamkan.

18. Orang Gaji: Hamba Sahaya Zaman Moden.

19. Jualan Murah Gimik Peniaga.

20. Facebook: Lebih sudu daripada kuah


HUMOR/PERIBAHASA


1. Perkahwinan Bukti Cinta.

2. Kanak-Kanak Perlu Lebih Bermain.

3. Hitam Itu Menawan.

4. Panas Lebih Baik Dari Hujan.

5. Pisang Lebih Enak Dari Epal.

6. Poligami Perlu Disokong.

7. Bergelap-Gelap Didalam Terang


** Kepada skuad UiTM (Utama & Junior - BM & BI), selamat berjuang untuk terus memartabatkan alam debat di peringkat tertinggi, insya Allah .. .

PERTAHAN SISTEM KEWANGAN ISLAM, ELAK KRISIS TERBARU

Krisis kewangan yang melanda dunia ketika ini melibatkan kerugian terbesar yang pernah direkodkan dalam sejarah.

Pasaran modal dianggarkan kerugian sebanyak AS$30 hingga AS$35 trilion (RM105 hingga RM122.5 trilion), sektor hartanah sekitar AS$60 trilion (RM210 trilion) dan sektor kewangan AS$3 trilion (RM10.5 trilion).

Sebagai perbandingan kepada kerugian ini, kos untuk menampung bencana alam seperti gempa bumi, tsunami, taufan dan sebagainya dari 1970 hingga 2007 hanya memerlukan AS$745 billion (RM2.6 trilion).

Pemenang Anugerah Nobel Ekonomi, Michael Spence dan pemegang Anugerah Ekonomi Islam Bank Pembangunan Islam, Muhammad Umer Chapra menyatakan, faktor utama krisis kewangan dunia disebabkan oleh instrumen terbitan (derivative) dan sekuriti.

Sementara pemenang Anugerah Antarabangsa Raja Faisal dalam Pengajian Islam, Muhammad Nejatullah Siddiqi berpendapat, eksploitasi pasaran dan instrumen kewangan melibatkan hutang berlebihan menyumbang kepada krisis kewangan.

Fenomena ini telah pun diramalkan oleh Warren Buffet, “guru” pelaburan dunia. Beliau menyatakan derivative merupakan senjata pemusnah besar-besaran kewangan. Pakar-pakar ekonomi dunia secara umumnya sepakat bahawa faktor utama krisis kewangan dunia diakibatkan oleh instrumen hutang berlebihan selain spekulasi kewangan melalui instrumen derivative dan sekuriti.

Secara idealnya, kewangan Islam dilihat mampu memberi harapan bagi mengelak krisis ekonomi. Berdasarkan prinsip-prinsip syariah yang menuntut keadilan seperti larangan riba, gharar, judi dan spekulasi berlebihan, telah menjanjikan penyelesaian kepada krisis kewangan.

Persoalannya, adakah kewangan Islam benar-benar bebas daripada segala bentuk krisis kewangan? Realitinya, terdapat kegagalan institusi Islam seperti Ihlas Finance di Turki dan skandal kewangan Bank Islam Dubai.

Terdapat banyak kritikan terhadap pelaksanaan kewangan Islam yang dikatakan meniru dan mengikut rentak institusi kewangan konvensional. Muhammad Nejatullah, Munzir Kahf, Muhammad Umer, Mahmud El Gamal dan ramai lagi cendekiawan mengkritik hebat kewangan Islam yang dilihat gagal melunaskan tanggungjawab sosial dan memenuhi tuntutan maqasid syariah atau objektif syariah.

Penulis membahagikan kritikan terhadap sektor kewangan Islam kepada tiga bahagian iaitu dari aspek struktur, sistemik dan operasi. Dari aspek struktur produk, instrumen kewangan Islam yang diamalkan di seluruh dunia didominasi oleh produk berasaskan hutang.

Ini termasuk tawarruq, bay al inah, murabahah dan istisna’ yang mewakili lebih 80 peratus produk yang dilanggani oleh pengguna di Malaysia.

Walaupun diakui tiada nas atau dalil yang menyatakan produk ini tidak boleh ditawarkan, namun implikasi ekonomi yang bakal disumbangkan melalui instrumen ini hampir sama dengan apa yang berlaku pada krisis kewangan.

Keghairahan sesetengah institusi kewangan Islam menawarkan produk derivative dan sekuriti juga menimbulkan tanda tanya sejauh manakah sektor ini akan bertahan dan mengelakkan krisis kewangan.

Daripada aspek sistemik, institusi kewangan Islam dilihat tidak mempunyai ruang lingkup tadbir urus korporat yang baik diikuti oleh kelemahan ruang lingkup perundangan.Hal yang sama berlaku daripada aspek operasi apabila institusi kewangan Islam tidak mempunyai ruang lingkup komprehensif untuk mengenal pasti, meminimum dan memantau risiko.

Walaupun kewangan Islam dilihat sebagai sistem yang mampu mengelak krisis ekonomi, namun realitinya, ia tidak akan dapat berfungsi dengan baik sekiranya pelaksanaan tidak menepati nilai-nilai Islam.

Institusi kewangan Islam perlu berhati-hati dalam menawarkan produk-produk kewangan Islam supaya ia bukan sahaja sah daripada segi hukum bahkan menepati kehendak maqasid syariah.

Ruang lingkup tadbir urus korporat, perundangan dan operasi perlu diberikan perhatian serius bagi mengelak fenomena yang sama berlaku kepada institusi kewangan konvensional. Sektor kewangan Islam yang dijangka mencecah AS$4 trilion (RM14 trilion) dalam masa lima tahun oleh Perkhidmatan Pelaburan Moody perlu dipertahankan agar tidak kecundang seperti sistem kewangan konvensional sedia ada.

(UTUSAN)


Isnin, 23 November 2009

KAMPUS CAWANGAN UiTM DI SEREMBAN 3

SEREMBAN 22 Nov. - Kerajaan negeri bercadang membangunkan sebuah lagi kampus cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Seremban 3 di sini dalam menjadikan negeri ini hab pendidikan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kampus yang bakal dibina di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) itu akan dikenali sebagai 'City Campus'.

"Pihak UiTM menyambut baik idea cadangan ini dan dari segi dasarnya, kerajaan meluluskannya. Bagaimanapun dalam aspek pelan struktur, ia masih dalam proses pengendalian," kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan Murid Tahun 2009 Sekolah Kebangsaan Datuk Akhir Zaman, Rantau dekat sini semalam.

Mohamad menjelaskan, pembinaan 'City Campus' bukan atas geran kerajaan, sebaliknya berasaskan pembiayaan swasta.

"Begitu juga untuk projek pembinaan cawangan UiTM di Chengkau, Rembau. Kedua-dua projek berkenaan adalah di bawah pembiayaan swasta," katanya.

Tambah beliau, 'City Campus' itu adalah pusat latihan lanjutan untuk siswazah-siswazah muda bukan untuk pelajar baru.

"Kampus ini bukan 100 peratus untuk pelajar baru, tetapi majoriti daripada pelajarnya nanti adalah dalam kalangan pensyarah serta tutor.

"Kampus seperti inilah yang kerajaan mahu tumpukan, lain daripada biasa, di mana membolehkan pensyarah berkunjung menghadiri seminar dan melanjutkan pelajaran di bawah Program Siswazah Muda," katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri sememangnya berhasrat supaya lebih banyak institusi pendidikan tinggi (IPT) membuka kampus di negeri ini, seiring dengan fokus kerajaan bagi menjadikan Negeri Sembilan sebagai lembah ilmu serta koridor hab pelajaran, terutamanya di Seremban Barat.

"Pada masa sama, kerajaan mengalu-alukan sebarang bentuk pertanyaan ataupun mana-mana institusi pengajian tinggi yang berminat untuk membuka kampus mereka di Negeri Sembilan.

"Menerusi perancangan sebeginilah, selain membawa pembukaan kampus baru IPT ke sini, ia turut mampu memenuhi strategi kerajaan dalam menambahkan kependudukan di negeri ini," katanya.


(Utusan )

Selasa, 17 November 2009

JAWATAN KOSONG : MAJLIS DAERAH REMBAU

Jawatan kosong di Negeri Sembilan.

Jawatan

  • 1. Pegawai Tadbir (Setiausaha) Gred N41

    [ * IKLAN LENGKAP * ]

    Tarikh tutup : 26 November 2009

  • DOA ORANG BERDOSA DITOLAK ALLAH

    Sebagai manusia ada saja perkara yang diperlukan, tetapi setiap yang diperlukan itu tidak mungkin boleh didapati dengan mudah. Pada saat dan ketika itulah manusia akan berharap dan mula mengadu nasib.

    Bagi mereka yang mengakui dirinya makhluk (yang dicipta) pasti mengadu pada Penciptanya iaitu Allah Yang Maha Berkuasa.

    Mereka yang beriman tidak jemu berharap dan berdoa walaupun permintaannya belum berhasil. Doa bagi golongan ini adalah senjata dalam menghadapi sebarang situasi, membuatkan mereka tidak pernah putus harapan.

    Sementara golongan yang lemah iman akan patah semangat untuk berdoa. Dalam benaknya, kenapa Allah tidak memakbulkan doanya?

    Di sinilah kita harus menilai diri sendiri. Siapa kita sebenarnya? Adakah kita ini termasuk orang yang bersih jiwa? Adakah kita mematuhi perintah Allah atau sebaliknya, sedangkan doa akan dimakbulkan (diterima) daripada hamba-Nya yang benar-benar ikhlas.

    Andai kita bekerja di sebuah perusahaan, tetapi kita seorang pemalas, ingkar dan banyak melanggar peraturan di perusahaan itu, apakah ketua perusahaan itu akan menunaikan dengan mudah permintaan kita, seperti kenaikan gaji?

    Sebagai ketua tentulah dia akan memberi dengan mudah jika pekerjanya itu seorang yang disayanginya, taat peraturan kerja dan rajin.

    Demikian juga kita mengandaikan Allah dan hamba-Nya. Jika manusia itu seorang yang taat segala perintah, malah dalam masa yang sama menjauhi larangan-Nya dan rajin beribadat, insya-Allah mudahlah Allah memakbulkan segala doanya.

    Jika kita melakukan banyak dosa, akan terhijablah (terdinding) doa kita. Dengan perkataan lain, sia-sia kita berdoa.

    Ada lima perkara yang membuatkan kita terhijab atau ditolak doa oleh Allah s.w.t. iaitu:

    # Dosa kerana mengingkari pemimpin.

    Pemimpin terbahagi kepada dua iaitu pemimpin atasan dan pemimpin bawahan. Perintah mereka wajib ditaati selagi tidak bercanggah dengan syariat.

    Pemimpin yang dimaksudkan di sini ialah pemimpin yang adil kepada orang bawahannya, soleh lagi berjiwa tauhid, bukan pemimpin yang fasiq dan berbuat mungkar kepada Allah s.w.t. Jadi ukurlah diri masing-masing sejauh mana ketaatan kepada pemimpin.

    # Dosa kerana tidak taat guru.

    Guru orang yang bertanggungjawab mendidik dan mengasuh kita. Segala ajarannya perlu diikuti. Jangan sampai guru berasa muak dengan kita, supaya kita tidak ditimpa malapetaka seperti susah menerima ilmu, gelap hati, keras hati, malas beribadat, doa dan amalan tidak terangkat dan tidak dapat memperbaiki akhlak.

    # Dosa kerana menderhaka dengan ibu bapa.

    Ibu bapa berkorban untuk menjadikan kita insan yang berguna di dunia dan akhirat. Jika kita menderhaka atau menyakiti hati mereka, sedangkan perintahnya bertepatan dengan syariat Islam, Allah pasti murka pada kita.

    Awas, doa anak derhaka tidak diangkat malaikat ke hadrat Ilahi. Oleh itu, tidak ada perubahan atau peningkatan pada diri kita kerana doa mereka ditolak. Jadilah kita orang yang rugi di dunia dan akhirat.

    # Dosa kerana derhaka kepada suami.

    Isteri yang menderhakai suaminya tidak layak mencium bau syurga. Allah murka dan melaknat isteri yang membelakangi suaminya.

    Rasulullah bersabda, maksudnya: "Jika Allah membenarkan manusia sujud kepada manusia selain-Nya, aku akan menyuruh isteri sujud kepada suaminya."

    Besarnya kedudukan seorang suami di sisi Allah. Seorang isteri walaupun ibadatnya sehebat ibadat Siti Maryam (ibu Nabi Isa), tiada nilai sedikitpun di sisi Allah jika masih menderhakai suami.

    # Dosa kerana menganiaya atau menzalimi orang.

    Golongan yang suka menganiaya dan menzalimi orang termasuk juga orang yang gemar menabur fitnah, mengadu domba, buruk sangka sesama manusia, suka menyakiti hati orang lain, sama ada dengan lidah, perbuatan atau tingkah laku.

    Jika kita melakukan satu daripada lima perkara ditegah di atas, terhijablah doa dan amalan kita. Oleh itu, jika ingin doa kita dimakbulkan Allah, jauhkan diri daripada melakukan perkara yang mengundang kemurkaan Allah itu.

    (HARIAN METRO)


    Isnin, 16 November 2009

    GURU MUDA BERPELUANG JADI PENGETUA

    Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membawa kepada perubahan kenaikan pangkat pengetua dan guru besar. Kini ia tidak lagi tertakluk kepada faktor kekananan, tetapi mengambil kira pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

    Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata, enam teras NKRA ialah mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, meningkat taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman serta menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.

    NKRA meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan meliputi agenda kerajaan menawarkan ba'iah baru kepada pengetua serta guru besar sekolah dengan janji ganjaran berasaskan KPI sekolah masing-masing. Alimuddin berkata, antara elemen utama dalam KPI peringkat sekolah rendah ialah semua murid normal yang bersekolah dapat menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) sebelum memasuki tahun empat, sasaran 100 peratus murid celik huruf serta kecemerlangan dalam akademik dan kokurikulum.

    Di peringkat sekolah menengah, KPI akan menumpukan perhatian antara lain kepada bidang kebitaraan (nitch area) masing-masing serta kejayaan yang dicapai termasuk peringkat antarabangsa. Ramai menyokong dasar itu kerana sudah sampai masanya perubahan baru dilakukan bagi memantapkan sistem pendidikan di negara ini.

    Namun, sejauh mana pelaksanaan dasar itu membantu dalam pentadbiran dan kecemerlangan sekolah? Apakah faktor kekananan yang diguna pakai selama ini tidak efektif dalam pemilihan pengetua dan guru besar sehingga ia perlu dirombak? Selain itu, tidakkah dengan pelaksanaan dasar ini akan memberi impak negatif terutama kepada guru senior?

    Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pengetua Malaysia, Azam Md Atan, berkata kaedah baru pelantikan pengetua dan guru besar itu satu langkah yang baik. Beliau berkata, langkah itu memastikan sesiapa yang dipilih menerajui sesebuah sekolah adalah mereka yang cemerlang dan mempunyai rekod yang baik. "Kemampuan seseorang dalam menerajui sebuah institusi pendidikan terutama sekolah adalah penting kerana ia ibarat tonik kepada kecemerlangan pelajar dan sekolah.

    "Jadi, dasar ini akan mewujudkan lebih banyak sekolah cemerlang dan setaraf dengan sekolah bertaraf dunia. "Namun, faktor kekananan yang diguna pakai sekarang tidak perlu diluputkan sebaliknya digabungkan dengan pelaksanaan dasar baru ini iaitu cemerlang dan berpengalaman," katanya.

    Azam berkata, faktor kekananan yang diguna pakai selama ini bagus, tetapi sudah sampai masanya ia perlu diubah. "Jika dilihat, menerusi faktor kekananan ini, seseorang pengetua dan guru besar itu dilantik berlandaskan senioriti dan tempoh perkhidmatannya.

    "Jadi, walaupun tidak punya KPI yang tinggi atau cemerlang, mereka boleh memegang jawatan itu. "Ia akan menafikan hak mereka yang cemerlang dan mampu menaikkan prestasi sekolah," katanya. Faktor itu, katanya, sangat merugikan bukan saja kepada masa depan sekolah dan pelajar, tetapi pendidikan negara.

    "Seseorang yang cemerlang pastinya mempunyai visi dan misi. Jika tidak mendapat peluang hanya kerana tempoh perkhidmatan, sedangkan mereka layak, kita kerugian. "Justeru, jika mereka diberi peluang menjadi pengetua atau guru besar, potensi sesebuah sekolah lebih cemerlang amat besar," katanya.

    Sudah lumrah, sesuatu dasar yang diubah pastinya ada kebaikan dan keburukan. Perkara itu dipersetujui Azam kerana sesuatu dasar itu perlu diubah mengikut perkembangan semasa. "Kita sudah lama merdeka dan perlukan perubahan. "Perubahan ini tidak merugikan sesiapa sebaliknya memberi keuntungan terutama dalam meningkatkan prestasi sekolah," katanya.

    Menurutnya, perubahan itu akan menjadikan sektor pendidikan di negara ini setaraf dengan sekolah di luar negara. Sebagai guru yang 32 tahun menjadi pendidik, Azam meminta pelaksanaan dasar ini tidak meninggalkan kesan yang negatif kepada sesiapa terutama guru.

    Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Semenanjung Malaysia (GPMS), Syed Anuar Syed Mohamad, berkata perubahan itu adalah tindakan yang bagus. "Seseorang pengetua atau guru besar perlu mempunyai kecemerlangan kerana ia adalah jaminan kepada sebuah sekolah yang terbaik.

    "Mereka yang dilantik juga perlu mempunyai kepemimpinan dan kreativiti yang tinggi selain pemikiran baru bagi menaikkan taraf pendidikan di negara ini," katanya. Menurutnya, jika guru muda berkemampuan dan cemerlang, mereka boleh dilantik menjadi guru besar atau pengetua.

    "Kini, ramai orang muda yang mempunyai kebolehan terutama pentadbir yang baik. Idea mereka kadangkala lebih ke hadapan untuk menjulang kecemerlangan sekolah. "Secara tidak langsung, ia suatu motivasi kepada sesiapa saja untuk membuktikan kecemerlangan dan dilantik kerusi nombor satu di sekolah," katanya.

    Katanya, jika orang muda dilantik sebagai pengetua atau guru besar, jangan pula melupakan guru berpengalaman atau senior kerana gabungan kedua-duanya menjamin kecemerlangan sekolah berterusan.

    (HARIAN METRO)


    Ahad, 15 November 2009

    MELABUR BENTUK EMAS

    DATO' SALLEH MAJID
    Bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

    Minggu lepas saya dijemput oleh TV3 menerangkan tentang emas sebagai pelaburan alternatif dalam program Bijak Wang. Minat dengan pelaburan emas memang sedang meningkat. Melalui program tersebut pun ada beberapa penonton yang menelefon bertanyakan beberapa perkara tentang emas.

    Saya diminta menerangkan mengapa wajar melabur dengan emas. Emas sebenarnya ialah suatu komoditi yang tidak luntur ditelan zaman. Walau tertanam beribu-ribu tahun sekalipun, emas tetap berkilau.

    Tidak ada negara yang mata wangnya tidak tertakluk kepada turun naik nilai emas, termasuklah negara kita semasa krisis 97/98 yang mana mata wang kita dikatakan menjadi bahan spekulator dan pernah jatuh ke paras serendah RM4.50 untuk satu dolar Amerika.

    Mata wang dunia tidak lagi disokong oleh emas dan negara seperti Amerika Syarikat didapati boleh mengeluarkan seberapa banyak wang sesuka hati mereka.

    Sekian lama mata wang dolar Amerika digunakan untuk segala-galanya daripada rizab negara kepada dagangan dunia.

    Boleh dikatakan tidak ada urusan yang tidak lepas daripada dolar Amerika sehinggalah Kesatuan Eropah menghasilkan Euro yang menjadi pencabar kepada kedudukan dolar Amerika.

    Apabila berlaku krisis ekonomi pada tahun 2008 yang berpunca di Amerika, dolar terus tertekan kedudukannya selaku mata wang utama. Tambahan pula negara seperti China yang banyak membeli Bil Perbendaharaan Amerika Syarikat merasa bimbang mengenai penurunan nilai dolar dan menyarankan penggunaan mata wang alternatif untuk perdagangan.

    Pada waktu sama China juga mengajak negara-negara Asia Barat mengubah haluan menggunakan mata wang lain selain dolar Amerika.

    Suasana begini dicampur dengan defisit kerajaan Amerika yang berjumlah trilion dolar menyebabkan ramai orang membeli emas selaku pelindung atau insuran.

    Mereka yang mengambil langkah perlindungan ini bukan saja orang individu tetapi juga negara. Selasa minggu lepas, Bank Negara India telah membeli 200 tan emas dari Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan ia telah melonjakkan harga emas pada hari itu. Dikhabarkan IMF akan menjual sebanyak 200 tan lagi. Kenaikan permintaan ini menyebabkan harga emas terus meningkat.

    Minggu lepas sehingga semalam (Jumaat) emas naik dari AS$1091 (RM3,815) seauns kepada AS$1106 (RM3,871).

    Bagaimanapun mereka yang ingin membeli emas patut melihat pembeliannya untuk disimpan selama 365 hari. Bukan untuk dijual minggu depan atau bulan depan kerana dengan mengambil sikap demikian segala turun naik harga (volatiliti) dapat diatasi.

    Misalnya sejak setahun lalu, harga emas naik sebanyak 52 peratus dari AS$734.90 (RM2,572) seauns kepada AS$1116.80 (RM3,908) seauns.

    Kalau emas tidak penting mengapa kerajaan India membeli 200 tan emas minggu lepas?

    Kebimbangan akan kejatuhan nilai matawang dolar Amerika dan kemungkinan pemulihan mungkin akan mengambil masa lebih lama daripada dijangkakan kerana pengangguran di AS hampir mencecah 10 peratus dan masalah yang membelenggu sektor perumahan belum dapat diatasi lagi.

    Kerajaan China juga menasihatkan rakyatnya menyimpan 5 peratus daripada wang simpanan mereka dalam bentuk emas dan ini bakal menaikkan lagi harga emas.

    Kita ingat semasa zaman ramai pelarian meninggalkan negara asal mereka seperti semasa perang Vietnam. Mereka yang lari daripada Kemboja membawa bersama emas dan apabila sampai di sini mereka menggunakan emas tersebut untuk memulakan perniagaan dan hidup baru.

    Contohnya di kawasan Kota Tinggi, Johor. Ramai orang Kemboja yang memiliki perniagaan seperti barang kemas dan perniagaan kain. Emas diterima di mana-mana tidak kira di negara mana sekalipun, emas tetap emas.

    Seperti yang pernah dinyatakan dahulu, emas boleh dibeli secara buku pas dan secara syiling atau keping (wafer) dari bank-bank perdagangan. Selain itu, barang kemas juga suatu pelaburan dalam "bentuk emas" walaupun ketulenan emas pada barang kemas adalah rendah daripada emas keping iaitu 91.6 peratus bagi barang kemas dan 99.99 bagi syiling dan emas keping.

    Bagi Bursa Malaysia pula, mungkin Dana Dagangan Bursa Emas (Gold Exchange Traded Fund) mungkin boleh difikirkan selaku salah suatu tawaran di bursa kita.

    Dengan adanya ETF Emas ini dapatlah lebih ramai pelabur melabur dalam emas dengan modal yang lebih rendah.